Kes Covid-19 di Kelantan meningkat, 17 lagi kes dikesan

Kelihatan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan di Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau dikenali juga sebagai Menara Rehal hari ini. Foto Bernama
Kelihatan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan di Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau dikenali juga sebagai Menara Rehal hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU – Angka jumlah kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di Kelantan semakin menaik iaitu sebanyak 17 kes dicatatkan hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan melalui laman sosial Facebooknya setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kes baru tersebut melibatkan 11 kes di Machang, dua kes di Tumpat dan masing-masing satu kes di Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu dan Kuala Krai.

Untuk kes ke-241 sehingga 249 adalah melibatkan Mukim Pangkal Meleret di Machang yang merupakan kontak rapat Kluster Mengketil.

Kes ke 250 dan 251 di Mukim Ulu Sat, Machang, kes ke-252 di Mukim Ulu Kusial, Tanah Merah, ke-253 di Mukim Rantau Panjang, Pasir Mas dan kes ke-254 di Mukim Panji, Kota Bharu juga merupakan kontak rapat Kluster Mengketil termasuk kes 255 di Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai, juga dari kluster sama.

Sementara itu, untuk kes ke-256 dan 257 di Mukim Sungai Pinang, Tumpat merupakan saringan berisiko luar negeri iaitu Sabah dan dikategorikan sebagai kes Import B.

Dalam entri sama, Jabatan Kesihatan Negeri turut memaklumkan sembilan kes sembuh dan discaj dilaporkan hari ini melibatkan kes ke-184, 186, 187, 188, 192, 194, 195, 196, 197 dan jumlah yang masih menerima rawatan adalah seramai 60 orang.

Terdapat dua zon jingga iaitu di Kota Bharu melibatkan 31 kes tempatan dan Machang 22 kes tempatan.

Artikel Berkaitan:

Empat zon kuning dicatatkan iaitu daerah Tanah Merah melibatkan 10 kes tempatan, daerah Jeli dua kes tempatan, Kuala Krai satu kes tempatan dan Pasir Mas satu kes tempatan.

Bilangan kes import B iaitu jangkitan dari luar Kelantan pula mencatatkan enam kes iaitu di Pasir Mas satu kes melibatkan saringan berisiko dari Selangor, Pasir Puteh satu kes iaitu kontak rapat kepada Kluster Cergas, Negeri Sembilan manakala di Jeli dua kes dan Tumpat satu kes adalah saringan berisiko dari Sabah.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, tiada pertambahan kes melibatkan Kluster Kube dan jumlah angka masih lagi 23 kes manakala Kluster Mengketil pula 15 kes baharu dilaporkan menjadikan ia kini 37 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan kawasan yang sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dengan jarak dekat.