Pencemaran bau berlaku kerana masalah koordinasi: Exco Selangor

Loy Sian (dua dari kanan) menjawab soalan pemberita sewaktu sidang akhbar di bilik MTES hari ini.
Loy Sian (dua dari kanan) menjawab soalan pemberita sewaktu sidang akhbar di bilik MTES hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden pencemaran bau yang dikesan berhampiran loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox sebelum ini berlaku disebabkan oleh masalah koordinasi antara agensi-agensi berkaitan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pihaknya telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air di Selangor pada Isnin lalu bagi mengenal pasti punca insiden tersebut.

Beliau berkata, menerusi perbincangan dalam mesyuarat itu, pihaknya mendapati aspek koordinasi perlu dipertingkatkan melibatkan agensi berkaitan seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), IWK dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya tidak tuduh siapa salah, siapa betul (dalam insiden ini), namun semua pihak perlu tingkat koordinasi antara satu sama lain," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan RM1,000 secara 'one-off' kepada penggiat industri pelancongan di Selangor yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor hari ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai penafian IWK berhubung dakwaan pihaknya menjadi punca kepada insiden pencemaran bau sehingga menyebabkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam sebelum ini berkata, pencemaran bau itu berpunca daripada sisa buangan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab, malah IWK turut mengambil tindakan segera dengan menghentikan pembebasan sisa kumbahan pada 4 November lalu selepas mengesan bahan berkenaan dalam sistem pembetungan mereka.

Mengulas lanjut, Loy Sian turut menafikan dakwaan IWK sebelum ini yang mengatakan pihak mereka telah menghantar notis awal kepada kerajaan negeri melalui PBT berhubung insiden itu.

"Mereka kata hantar notis pada PBT, tetapi masalahnya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) maklumkan mereka menerimanya 10 hari selepas pencemaran itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga ada kumpulan WhatsApp yang disertai pegawai tertinggi setiap agensi termasuk saya di mana setiap perkembangan sebarang insiden pencemaran akan dimaklumkan di sana.

"Namun, saya diberitahu apa yang berlaku dalam insiden di Taman Velox sebelum ini adalah di mana wakil IWK juga tidak memaklumkan mengenai insiden di pembetung kumbahan mereka menerusi kumpulan WhatsApp itu," katanya.

Katanya, pihaknya berharap agar aspek koordinasi melibatkan agensi berkaitan dapat dipertingkatkan selepas ini.