Amirudin pegang lima, umum portfolio 10 Exco Selangor

Amirudin (tengah) bersama barisan 10 Exco Selangor yang dilantik.
Amirudin (tengah) bersama barisan 10 Exco Selangor yang dilantik.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan senarai penuh 11 portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco Selangor) Pakatan Harapan (PH) Barisan Nasional (BN) pada Rabu.

Pengumuman portfolio barisan Exco baharu itu diumumkan Amirudin dalam sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pertama di bangunan pentadbiran negeri di sini.

Selain kekal sebagai Menteri Besar Selangor, Amirudin turut memegang lima portfolio Exco Pembangunan Tanah dan Sumber Alam, Kewangan dan Tindakan Ekonomi, Pemodenan Pentadbiran dan Digitalisasi Kerajaan, Komunikasi Strategik serta Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.

Seramai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, empat ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Amirudin, dua Parti Amanah Negara (Amanah) dan satu ADUN Barisan Nasional (BN) mengisi jawatan Exco bagi pentadbiran Selangor penggal ke-15.

Wakil DAP terdiri ADUN Kinrara, Ng Sze Han dilantik Exco Pelaburan Perdagangan & Mobiliti; bekas Speaker DUN, Ng Suee Lim yang juga ADUN Sekincan dilantik Exco Kerajaan tempatan dan Pelancongan; ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin sebagai Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar dan ADUN Banting, V Papparaidu sebagai Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan.

Bagi wakil PKR pula ADUN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah memegang portfolio Exco Perumahan dan Kebudayaan; ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi sebagi Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan; ADUN Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi.

Sementara wakil Amanah, ADUN Pandan Indah, Izham Hashim kekal sebagai Exco Infrastruktur dan Pertanian, sementara ADUN Taman Templer, Anfaal Saari dilantik Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat.

Wakil tunggal BN, ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail pula dilantik sebagai Exco Kemajuan Desa dan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, seramai tujuh muka baharu dikemukakan dalam senarai 10 Exco yang mengangkat sumpah terima jawatan dihadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, walaupun sebahagian besar Exco dilantik merupakan muka baharu, namun ada antaranya pernah terlibat sebagai ADUN antaranya Mohd Najwan dan Jamaliah.

Selain itu katanya, Papparaidu pula pernah berkhidmat di pejabat Exco sementara Mohammad Fahmi yang pernah mengendalikan program kerajaan negeri.

"Begitu juga Suee Lim, walaupun baru saja dilantik sebagai Exco, namun merupakan yang paling senior sebagai sebagai ADUN Selangor selama lima penggal.

"Sementara Rizam merupakan bekas ketua pembangkang dan terlibat MITI dan pernah bertugas di Kementerian Kewangan.

"Saya yakin kemahiran iktisas dan pengalaman kerja mereka mampu membantu dan melaksanakan tugas sebagai Exco," katanya.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan segera memulakan tugas dan amanah bagi melaksana lima perkara utama dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Ujarnya, lima perkara utama yang akan dilaksana adalah menghargai wanita bekerja dengan pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak.

"Kedua, melaksanakan pengecualian cukai pintu utk rumah kampung, rumah kos rendah diikuti mahasiswa Selangor akan terima baucar buku Kita Selangor bernilai RM200.

"Keempat, menaikkan elaun imam, bilal, siak dan nazir masjid dan terakhir 500 petani, pesawah dan nelayan akan terima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM1,000," katanya.