Pahang batalkan sebahagian pewartaan Hutan Simpan Jengka

Wan Rosdy menjelaskan status terkini Hutan Simpan Jengka pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Wan Rosdy menjelaskan status terkini Hutan Simpan Jengka pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengesahkan pembatalan sebahagian pewartaan Hutan Simpan Jengka, Maran dengan keluasan tanah 465.75 hektar membabitkan lot di belakang Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Jengka dan kawasan sekitarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan pemberitahuan pengisytiharan pembatalan sebahagian Hutan Simpan Jengka melibatkan kawasan yang dinyatakan telah dilakukan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Warta Kerajaan Negeri Pahang bertarikh 11 Disember lalu.

"Pembatalan itu tertakluk di bawah Seksyen 13, Akta Perhutanan Negara (1984) (Akta 313). Ini bermakna kawasan tersebut tidak lagi menjadi sebahagian daripada Hutan Simpan Jengka.

"Sehubungan itu, kawasan belakang UiTM Kampus Jengka dan kawasan sekitarnya jelas bukan lagi berstatus hutan simpan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Shahril Azman Abd Halim (PAS- Jengka) yang ingin mengetahui status terkini sebahagian kawasan di Bandar Tun Abdul Razak Jengka (kawasan hutan belakang UiTM dan tapak pasaraya Econsave) dianggarkan kira-kira 300 hektar yang masih ditawarkan Pejabat Tanah dan Galian sebagai hutan simpan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Wan Rosdy berkata, tindakan pembatalan hutan simpan ini dilakukan bagi tujuan membolehkan pembangunan yang lebih baik dan terancang dapat dilakukan melibatkan kawasan-kawasan yang terlibat.

Jelasnya, ia diyakini dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi setempat sekali gus memberi manfaat kepada penduduk tempatan mahupun penduduk daerah Maran secara amnya.

Menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (DAP-Tra) mengenai status projek-projek menaik taraf bekalan air yang diperuntukkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KATS) daerah Raub pada tahun 2019 dan tahun ini, Wan Rosdy berkata, sebanyak RM18 juta telah diperuntukkan sebagai pinjaman kerajaan Pusat kepada kerajaan Pahang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peruntukan itu diberikan untuk melaksanakan projek kerja-kerja segera bagi mengatasi masalah kekeruhan yang tinggi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan dan LRA Sungai Klau, Raub yang melibatkan skop kerja utama iaitu pembinaan pre-sedimentation tank dan kerja-kerja berkaitan pada tahun lalu.