Atlet paralimpik jual burger tampung kos ubat

Mohamad Sufian menunjukkan biskut coklat chip yang dihasilkan di rumahnya di Taman Bahagia, Johor Bahru hari ini.
Mohamad Sufian menunjukkan biskut coklat chip yang dihasilkan di rumahnya di Taman Bahagia, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

STATUS orang kurang upaya (OKU) bukan menjadi penghalang buat atlet paralimpik sukan memanah Johor, Mohamad Sufian Jasmi untuk gigih berusaha dan berdikari bagi meraih pendapatan sendiri.

Anak muda berusia 21 tahun itu kini berniaga burger untuk pekerja di sebuah kilang berdekatan rumahnya di Taman Bahagia di sini.

Mula berniaga burger daging ayam dan lembu serta benjo sejak seminggu lalu, Mohamad Sufian bertuah kerana menerima sokongan dan bantuan daripada ahli keluarga termasuk ibu bapanya.

"Saya tinggal bersama-sama keluarga dan mereka banyak membantu kerana pergerakan terbatas akibat akibat lumpuh.

"Sebelum ini saya buat biskut coklat chip sejak September lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dua pembekal dari Kulai yang sebelum ini datang ke rumah untuk mengambil produk biskut saya tidak dapat bebuat demikian," katanya.

Mas Imran (kiri) menyampaikan sumbangan bahan-bahan membuat biskut dan burger kepada Mohamad Sufian di rumahnya di Taman Bahagia, Johor Bahru hari ini.
Mas Imran (kiri) menyampaikan sumbangan bahan-bahan membuat biskut dan burger kepada Mohamad Sufian di rumahnya di Taman Bahagia, Johor Bahru hari ini.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan barang keperluan untuk membuat biskut di kediamannya di sini hari ini.

Mohamad Sufian berkata, setiap hari dia akan menyiapkan antara 30 hingga 40 burger untuk pekerja kilang yang akan dihantar oleh abangnya pada jam 3 petang.

Artikel Berkaitan:

Dia yang turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan berkata, hasil jualan burger dapat menampung kos membeli ubat-ubatan yang diperlukan kira-kira RM50 sebulan.

Anak kedua daripada tiga beradik itu yang pernah menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 berhasrat menambah produk biskut atau kuih pada masa akan datang selepas menjalani pembedahan susulan tidak lama lagi.

"Saya belum benar-benar pulih kerana perlu menjalani pembedahan pada bahagian punggung sebelah kiri. Saya lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan, motosikal saya melanggar belakang sebuah lori di Taman Setia Tropika pada 12 tengah malam, 3 November 2016.

"Pada masa itu saya sedang menunggang sendirian dan akibat kemalangan itu tulang punggung hancur dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selama dua minggu sebelum disahkan lumpuh," katanya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya menghulurkan sumbangan bahan keperluan menghasilkan biskut bagi meringankan beban dan bantuan tersebut diberikan secara 'one off' dan akan terus membantu mengikut keperluan semasa.