X

Kindly register in order to view this article
!

Jangkitan Covid-19 di Kelantan melonjak

Info grafik situasi terkini Covid-19 di Kelantan.
A
A

PUTRAJAYA - Jangkitan Covid-19 di Kelantan terus melonjak dengan 19 kes baharu dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 19 kes baharu di negeri itu, satu adalah saringan Severe Acute Respiratory Infections (SARI).

"Baki 18 kes lagi dikesan daripada kluster sedia ada termasuk kluster terbaharu, iaitu Kluster Mengketil," katanya.

Menurutnya, Kluster Mengketil melibatkan daerah Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah serta Besut, Terengganu.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-45,094 merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI)," katanya.

Beliau berkata, pesakit tersebut dikenal pasti positif Covid-19 Jumaat lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Dr Noor Hisham berkata, saringan terhadap 210 kontak rapat telah mengesan sebanyak 23 lagi kes positif.

"Seramai 164 individu dikesan negatif manakala 22 lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Kelantan adalah 237 kes dengan 50 pesakit sedang menerima rawatan.

Dua daripada pesakit itu dirawat di unit rawatan rapi.

Kota Bharu diletakkan di bawah zon jingga dengan 28 kes, manakala Machang (10 kes), Tanah Merah (9 kes) dan Jeli (4 kes) berada di bawah zon kuning.

Kelantan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bersama Pahang, Perlis dan Sarawak sehingga 31 Disember depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!