3,550 pekerja Top Glove akan jalani saringan Covid-19

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove di Klang, Selangor, bermula tengah malam tadi. - Foto Bernama
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove di Klang, Selangor, bermula tengah malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Seramai 3,550 pekerja Top Glove akan menjalani saringan Covid-19 selaras penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat sarung tangan itu di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, saringan dijangka dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang esok selepas proses bancian dijalankan hari ini.

“Kebanyakan pekerja tersebut terdiri daripada pekerja warga Nepal dan Bangladesh.

"Turut terlibat dalam saringan itu dianggarkan 1,200 penduduk yang tinggal di kedua-dua sektor tersebut, namun jumlah sebenar masih dalam bancian,” katanya pada sidang akhbar di PKPD berkenaan, di sini hari ini.

Nurulhuda berkata, PKPD ini dibahagikan kepada dua sektor iaitu sektor A melibatkan 39,000 meter persegi dan sektor B seluas 41,000 meter persegi.

“Jumlah keseluruhan kawasan ialah 80,000 meter persegi atau 6.3 hektar," katanya.

Beliau berkata, seramai 200 kakitangan daripada pelbagai agensi terlibat dalam pelaksanaan PKPD di kedua-dua sektor terbabit.

“Kakitangan tersebut terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Klang, Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurulhuda memaklumkan operasi kilang sarung tangan berkenaan akan berjalan seperti biasa.

“PKPD ini hanya melibatkan pekerja yang tinggal di asrama dalam dua sektor tersebut,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja syarikat sarung tangan berkenaan bermula tengah malam tadi.

Pelaksanaan PKPD di kawasan itu terpaksa dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 215 kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelaksanaan PKPD ini membabitkan kawasan asrama lelaki di Jalan Abadi 1A/KU8, asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD di asrama pekerja Top Glove