Jatuh tangga, Amber Chia jalani pembedahan

Amber memasuki dewan bedah sekitar jam 3 petang tadi.
Amber memasuki dewan bedah sekitar jam 3 petang tadi.
A
A
A

MODEL dan pelakon, Amber Chia mengalami kecederaan akibat jatuh tangga dan kini sedang menjalani pembedahan.

Wanita berusia 41 tahun itu memuat naik gambar dirinya terlantar di sebuah pusat perubatan swasta di sini hari ini dengan kapsyen: "Pitam. jatuh dari tangga. Kemalangan kecil. Menunggu proses pembedahan."

Menurut Amber, imbasan CT (Computed Tomography) menunjukkan dia tidak mengalami apa-apa pendarahan dalaman di kepala akibat insiden itu.

"Jangan risau sebab berdasarkan CT scan, tiada pendarahan cuma luka terlalu besar, jadi kena jalani pembedahan.

"Terima kasih kerana mesej dan risaukan saya. Saya dah okay dan sedar," ujarnya dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun tambah Amber, dia sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku.

"Semalam blackout (pitam), tak tahu apa jadi. Cuma sedar, bangun sudah berada di hospital," jelasnya.

Amber yang berasal dari Perak tetapi dibesarkan di Tawau, Sabah, memulakan kerjaya peragaannya pada 2004 apabila menjadi orang Asia pertama sebagai model Guess Watches.

Amber berkahwin dengan ahli perniagaan Adrian Wong. Mereka mempunyai seorang anak lelaki Ashton berusia 13 tahun.