2,964 penduduk Melaka jalani saringan kanser percuma

Fairul Nizam.
Fairul Nizam.
A
A
A

MELAKA - Seramai 2,964 orang penduduk Melaka telah memanfaatkan insiatif MBIO Sihat iaitu program ujian darah untuk mengesan kanser secara percuma di bawah Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) dalam tempoh Februari hingga 8 Julai lalu.

Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Fairul Nizam Roslan berkata, daripada jumlah itu 52 lelaki dan 12 wanita memperolehi bacaan tinggi bagi penanda kanser kolon manakala 51 lelaki dikesan bacaan tinggi bagi kanser prostat dan 48 wanita mendapat keputusan bacaan tinggi bagi kanser ovari.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan orang ramai telah mula menyedari insiatif saringan kanser secara percuma yang diberikan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berusia 40 tahun ke atas.

"Pihak Bioteknologi akan memaklumkan kepada mereka dan membawa keputusan ujian saringan itu ke klinik kesihatan atau ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut.

"PBM juga telah turun ke pelosok Dewan Undangan Negeri (DUN), klinik-klinik kesihatan, program anjuran kerajaan serta institusi pengajian tinggi (IPT) semata-mata untuk memastikan rakyat Melaka merebut peluang menjalani saringan kanser itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kedua, DUN Melaka ke-15 di Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Terdahulu Fairul Nizam (BN- Asahan) menjawab soalan tambahan Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) berhubung penerima bantuan JKM yang telah mendapatkan rawatan tersebut.

"Kami berharap kerajaan negeri akan meneruskan saringan kanser seperti ini pada tahun akan datang supaya lebih ramai rakyat dapat menjalani saringan bagi pengesanan tiga kanser tersebut.

"Bioteknologi juga dalam proses untuk memperluaskan usaha mereka untuk membuat saringan lain seperti kanser payudara, kanser hati dan pankreas pada tahun akan datang," katanya lagi.