Projek KXP perlu penuhi syarat MPFN

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) meletakkan lapan syarat yang perlu dipatuhi Majlis Pelaksanaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) setelah mereka meluluskan projek berkenaan secara dasar dalam mesyuarat pada 27 Oktober lalu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarat pertama yang dikemukakan adalah projek berkenaan boleh dilaksanakan sekiranya mematuhi National Airport Strategy Plan (NASP) terlebih dahulu.

Katanya, mengikut perancangan, Majlis Pelaksanaan KXP perlu menyegerakan projek itu memandangkan ia terikat dengan Seksyen 4 pengambilan balik tanah yang telah diwartakan dan akan tamat pada Januari 2021.

"Oleh itu, dalam mesyuarat MPFN terbabit saya memohon KXP diberikan kelonggaran untuk dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan kajian NASP oleh Kementerian Pengangkutan," katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jitra) mengenai perkembangan projek terbabit pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri juga masih menanti keputusan permohonan pinjaman sebanyak RM1 bilion daripada Kementerian Kewangan.

"Kerajaan negeri di bawah pimpinan Mukhriz sebelum ini pernah memohon pinjaman dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) sebanyak RM2.5 bilion untuk kerja-kerja pengambilan bagaimanapun perkara itu tidak dibawa kepada Kabinet, jadi ia seperti tidak dimaklumkan kepada Kementerian Kewangan.

"Jadi saya telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk memohon pinjaman. Selepas saya rasa permohonan RM2.5 bilion itu tidak mungkin akan diluluskan, saya hantar surat sekali lagi dengan mengubah 'business plan' dengan melibatkan Sime Darby.

"Ini kerana 80 peratus daripada tanah yang terbabit dengan KXP adalah tanah milik mereka. Justeru, kos pengambilan balik tanah turun daripada RM2.5 bilion kepada RM1 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, jawapan kepada permohonan pinjaman RM1 bilion ini pun belum lagi diberikan kerana setakat ini, projek KXP ini belum lagi ‘lepas’ di peringkat MPFN," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, selain itu syarat-syarat lain yang digariskan oleh MPFN adalah menentukan kawasan-kawasan tanah rizab Melayu yang boleh dikekalkan pemilikan kepada orang Melayu, perlu digantikan dengan tanah rizab Melayu yang sama karakter dan nilai jika perlu perubahan milikan tanah berkenaan.

"Selain itu, kerajaan negeri perlu menyediakan mekanisme penyelesaian penempatan semula penduduk yang terlibat dan memastikan penempatan semula pekerja-pekerja ladang diberikan perhatian sewajarnya.

"Penjajaran semula Sungai Jerong tidak menjejaskan lembangan sungai dan sumber air negeri. Penjajaran semula rentis di dalam tapak cadangan tidak menjejaskan kestabilan bekalan elektrik kepada pengguna.

"Pemaju hendaklah mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tentukan fasiliti Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kelulusan status Zon Bebas Cukai, juga libat urus dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya.

Jelasnya, pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan disaran merangka semula kawasan-kawasan berpotensi bagi membangunkan projek dengan mengambil peluang daripada pembangunan berimpak tinggi dalam rancangan pemajuan sekiranya diluluskan.

"Akhir sekali, penggunaan sistem pengangkutan awam yang efisien melalui penyediaan perkhidmatan bas di setiap komponen cadangan ke stesen-stesen sedia ada dan melihat kesesuaian cadangan laluan rel baharu Sungai Petani ke tapak cadangan," katanya.