Isu hakisan pantai: Jangan salahkan fenomena alam semata-mata - MUDA

Kesan hakisan pantai yang berlaku di Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi. Gambar kecil: Andika
Kesan hakisan pantai yang berlaku di Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi. Gambar kecil: Andika
A
A
A

GEORGE TOWN - Isu hakisan pantai di sepanjang pesisir Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi tidak wajar terus disalahkan kepada faktor fenomena alam semata-mata, sebaliknya perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira kesan besar aktiviti manusia.

Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pulau Pinang, Andika Putera berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang menyifatkan hakisan pantai di kawasan terbabit sebagai fenomena bermusim.

Menurutnya, walaupun faktor semula jadi sememangnya memainkan peranan, namun sumbangan daripada pembangunan pantai tidak terkawal merupakan antara punca utama yang menyebabkan kemerosotan kestabilan semula jadi kawasan pesisir.

"Pembangunan berlebihan yang terlalu hampir dengan garis pantai, penambakan laut, pembinaan struktur keras seperti tembok dan benteng tanpa kajian menyeluruh, serta pengabaian ekosistem semula jadi seperti bakau dan zon penampan pantai telah mengganggu keseimbangan dinamik pantai.

"Akibatnya, kawasan pesisir menjadi semakin terdedah kepada hakisan yang lebih teruk dari tahun ke tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Andika, MUDA Pulau Pinang berpandangan bahawa langkah mitigasi jangka panjang tidak seharusnya terhad kepada projek kejuruteraan semata-mata.

Sebaliknya, jelas beliau, ia perlu disertai dengan penilaian semula dasar pembangunan pantai, penguatkuasaan kawalan pembangunan yang lebih tegas serta komitmen memelihara ekosistem semula jadi sebagai benteng pertahanan pertama terhadap hakisan.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri supaya lebih telus dan berani mengakui kelemahan perancangan lalu agar penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar mampan.

"Ini penting demi keselamatan orang awam, kelestarian alam sekitar serta masa depan sektor pelancongan Pulau Pinang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Zairil berkata, isu hakisan pantai di kedua-dua lokasi tersebut sebelum ini tular di media sosial dan mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Menurutnya, kejadian itu akan memberi kesan terhadap keindahan pantai, keselamatan pengunjung serta aktiviti pelancongan dan sukan pantai khususnya di kawasan pantai yang menjadi destinasi utama di negeri ini.

“Walaupun hakisan pantai di pesisir Batu Ferringhi merupakan fenomena alam yang berlaku setiap tahun akibat Monsun Timur Laut, keadaan pada tahun ini didapati lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Sehubungan itu, JPS kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyumbang kepada peningkatan kadar hakisan di kawasan berkenaan,"katanya.

Tambah Zairil, bagi kawasan pesisir pantai Tanjong Bungah yang melibatkan Pantai Hotel Mercure, Skyhome Apartment dan Chinese Swimming Club, JPS telah menyiapkan laporan teknikal berkaitan hakisan pantai dan kini dalam usaha memohon peruntukan bagi melaksanakan tindakan mitigasi segera.

"Sementara itu, bagi kawasan Batu Ferringhi yang melibatkan Hotel Bayview, Lone Pine, Golden Sands dan Shangri-La, JPS akan melaksanakan langkah mitigasi jangka pendek melalui penambahan sandbag bagi mengurangkan kesan hakisan pantai.

"Permohonan peruntukan bagi tahun 2026 telah dikemukakan melalui kerajaan Persekutuan sebagai usaha mengurangkan kesan hakisan di beberapa kawasan pantai yang terjejas," ujar beliau.

 

 

Ringkasan AI

  • Hakisan pantai di Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi tidak hanya disebabkan fenomena alam tetapi juga aktiviti manusia
  • Pembangunan pantai yang tidak terkawal adalah punca utama kemerosotan kestabilan semula jadi kawasan pesisir
  • Langkah mitigasi jangka panjang harus melibatkan penilaian semula dasar pembangunan pantai dan penguatkuasaan kawalan pembangunan
  • Kerajaan Negeri diminta untuk mengakui kelemahan perancangan dan melaksanakan penyelesaian yang mampan
  • JPS sedang menjalankan siasatan dan memohon peruntukan untuk tindakan mitigasi segera bagi mengurangkan kesan hakisan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!