Pahang peruntuk RM511 juta naik taraf empat LRA

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak RM511 juta telah diperuntukkan kerajaan Pahang bagi menaik taraf empat Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini sejak 2018 sehingga tahun ini.

Empat LRA yang sedang dinaik taraf adalah LRA Jelai, Lipis; LRA Karak, Bentong; LRA Kechau, Lipis dan LRA Semambu Fasa 3, Kuantan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, LRA Jelai melibatkan kos sebanyak RM20 juta, LRA Kechau (RM5 juta), LRA Karak (RM40 juta) dan LRA Semambu Fasa 3 membabitkan kos sebanyak RM446 juta.

"Dengan menaik taraf LRA Jelai, ia dijangka dapat menyelesaikan masalah bekalan air secara holistik di beberapa kawasan 'blackspot' iaitu di Institut Pendidikan Guru Lipis, Taman Cheneras Jaya dan kampung sekitar.

"Status kini projek berkenaan adalah dalam peringkat pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2021," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Ah Wong (BN-Cheka) berkenaan usaha menaik taraf loji air bersih pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, bagi projek menaik taraf LRA Karak pula, dijangka menyelesaikan masalah bekalan air di Kampung Jambu Rias, sebahagian Pekan Karak dan kampung-kampung sekitar.

Jelasnya, projek itu kini dalam proses pembinaan dan dijangka beroperasi dalam tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, LRA Kechau pula membabitkan projek membaik pulih cerun serta kerja-kerja berkaitan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2021.

Katanya, untuk LRA Semambu Fasa 3 pula, akan menyelesaikan masalah bekalan air di Kawasan Perindustrian Gebeng dan sekitarnya.

"Status terkini dalam peringkat kajian, kerja ukur dan penyiasatan tanah. Dijangka beroperasi pada 2025," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: LRA Semambu, Rumah Pam Air Kobat dinaik taraf