Pembangkang minta perluaskan lagi penerima i-Sinar KWSP

WAN AZIZAH
WAN AZIZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang meminta supaya kerajaan memperluaskan lagi kriteria penerima i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antaranya bagi mereka yang kekurangan atau dipotong gaji sebanyak 25 peratus dan ke atas.

Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan), antara perkara lain yang perlu ditekankan ialah soal pelaksanaan di mana KWSP perlu memudahkan urusan pemohon di kaunter.

"Jangan pula minta buat temu janji tapi bila ke pejabat pegawainya tiada. Permudahkan urusan pencarum kerana mereka ketika ini memerlukan wang kerana terkesan akibat pandemik (Covid-19)," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan)2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias dalam satu kenyataan berkata, pencarum KWSP yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan dibenarkan untuk mengeluarkan wang dari akaun satu sehingga RM60,000.

ARTIKEL BERKAITAN [VIDEO] Pencarum terjejas boleh keluar akaun satu KWSP hingga RM60,000

Beliau berkata, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam akaun satu, tertakluk kepada baki minimum RM100.

"Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah dalam akaun satu, akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

"Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam akaun satu, akan mempunyai akses 10 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri turut mencadangkan supaya elaun atau yuran bagi pengerusi agensi berkaitan kerajaan (GLC) atau GLIC yang disandang oleh wakil rakyat dikurangkan sebanyak 50 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Ia dikurangkan sebanyak 50 peratus dan kemudiannya disalurkan ke Tabung Covid-19. Yang Berhormat semua sudah bergaji.

"Selain itu, kepimpinan melalui tauladan, Perdana Menteri, menteri kanan, menteri-menteri dan timbalan menteri dipotong 10 peratus dan disumbangkan ke tabung berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar kenyataan seperti mengugut gaji penjawat awam tidak boleh dibayar sekiranya Belanjawan 2020 tidak diluluskan wajar dihentikan.

"Kami (pembangkang) tidak pernah mempertikaikan emolumen penjawat awam. Biarlah belanjawan ini perlu menyeluruh dan memperjuangkan rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN KWSP Akaun 1: Boleh keluar pendahuluan hingga RM60,000