[VIDEO] Cemar Sungai Selangor: Reman empat suspek dilanjutkan

Empat suspek yang memakai baju lokap polis bewarna oren dan baju biasa, dibawa ke Mahkamah Selayang hari ini, berhubung kes pencemaran bau bahan pelarut di Sungai Selangor, minggu lalu.
Empat suspek yang memakai baju lokap polis bewarna oren dan baju biasa, dibawa ke Mahkamah Selayang hari ini, berhubung kes pencemaran bau bahan pelarut di Sungai Selangor, minggu lalu.
A
A
A

SELAYANG - Perintah reman ke atas seorang wanita berhubung kes pencemaran bau bahan pelarut di Sungai Selangor, disambung sehari lagi manakala tiga yang lain dilanjutkan selama enam hari bermula esok.

Wanita berkenaan ditahan reman sejak 11 November lalu.

Majistret, Nur Hafizah Rajuni mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pihak polis terhadap kesemua suspek berusia 28 hingga 66 tahun itu.

Wanita berkenaan yang dipercayai pengarah syarikat pembinaan jalan raya direman sehingga Khamis sementara seorang lagi pengarah dan dua pekerjanya, yang mana salah seorang adalah warga Bangladesh direman sehingga Isnin depan.

Empat suspek itu tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi tadi dan dibawa masuk ke mahkamah untuk prosiding reman pada 9.30 pagi serta selesai 10.04 pagi.

Mereka direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek ditahan di sekitar Lembah Klang pada tengah malam, 10 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penahanan empat individu itu dibuat untuk membantu siasatan berhubung kes pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor.

Ia susulan kenyataan oleh pihak Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) pada 10 November lalu yang memaklumkan, berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual akibat penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA), ekoran pencemaran di muka sauk LRA Rantau Panjang dikesan pada tahap 8 ton manakala LRA Sungai Selangor bagi Fasa 1,2 dan 3 adalah 4 ton.

Menurutnya, empat LRA dihentikan tugas berikutan pencemaran bau bahan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.

LRA itu adalah Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang yang dihentikan tugas jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari ini.

Ini merupakan kejadian ketiga berturut-turut berlaku dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu yang mengakibatkan henti tugas di LRA sama.