X

Kindly register in order to view this article
!

Aset baharu perkasakan ATM

A
A

DUA tahun selepas dimeterai pembeliannya pada Pameran Pertahanan Asia (DSA) 2018 di Kuala Lumpur, sebanyak 18 laras sistem artileri LG1 Mark III Nexter 105mm (Nexter LG1 105mm) buatan Perancis bakal diserahkan kepada Tentera Darat (TD) bagi menggandakan kekuatan pasukan itu.

Perolehan Nexter dirancang untuk dibekalkan kepada Rejimen Pertama Artileri Diraja (1 RAD Para) dengan jumlah keseluruhan akan ditambah secara berperingkat-peringkat.

Ia bagi menggantikan sistem artileri sedia ada iaitu Oto Melara L5 Pack Howitzer 105mm yang telah digunakan sejak 50 tahun lalu.

Meriam yang banyak berjasa ini telah menjadi tulang belakang medan tempur sepanjang operasi TD memerangi pengganas komunis sehinggalah semasa pertempuran di Lahad Datu.

Pemilihan sistem artileri ini sekali gus menamatkan program penggantian meriam baharu TD yang telah dirancang sejak pertengahan tahun 90-an. Firma pertahanan Britain, Royal Ordnance Factory (kini BAE Systems) misalnya pernah menawarkan meriam jenis L118 yang diberi nama Sakti 105mm untuk dikilangkan di negara ini.

Syarikat tempatan, Advanced Defence Systems Sdn Bhd (ADSSB) yang memperoleh kontrak pembekalan Nexter LG1 105mm telah melakukan sepenuhnya kerja-kerja pemasangan sistem artileri tersebut di kilangnya di Gemas, Negeri Sembilan.

Kontrak pembekalan ini termasuklah bersama tiga unit sistem pengiraan balistik jenis Bacara serta peluru jenis HE BB ER G3 untuk jarak tembakan sehingga 17 kilometer.

Nexter LG1 105mm direka bagi operasi pasukan atur gerak cepat selain boleh ditunda menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dibawa menggunakan helikopter atau digugurkan dengan payung terjun.

Bentuknya yang kompak dengan berat kira-kira 1,650 kilogram sesuai untuk dioperasikan mengikut geografi negara ini. Ia juga menjadi pilihan tentera seperti di Thailand, Indonesia, Kanada dan Colombia.

Penyerahan sistem artileri LG1 Nexter 105mm juga memberi gambaran bahawa cadangan TD untuk membesarkan lagi kekuatan RAD akan berjalan sepertimanadirancang.

Tiga buah rejimen artileri medan baharu ini nanti akan ditempatkan di Kalabakan, Lahad Datu dan Kudat diikuti penubuhan dua buah markas artileri divisyen iaitu di Sabah dan Sarawak.

Perancangan

Pembelian sistem artileri ini yang diumumkan Menteri Pertahanan semasa kerajaan lalu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menerusi Bajet 2018 yang memperuntukan RM14 bilion untuk Kementerian Pertahanan (Mindef).

Mengikut perancangan kerajaan ketika itu, peruntukan tersebut adalah bagi pembelian enam helikopter tempur ringan jenis MD 530-G, sistem artileri bergerak 155mm dan artileri 105mm.

Turut bakal diterima ialah enam kapal tempur pesisir (LCS) dan empat kapal misi pesisir selain merancang perolehan kapal sokongan pelbagai peranan bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula akan memperoleh empat pesawat pengawasan maritim untuk mengawasi perairan negara termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Perolehan sistem artileri bergerak M-109A5 terpakai dari Amerika Syarikat bagaimanapun dibatalkan.

Mutakhir, ATM dijangka menerima enam helikopter jenis MD530G bernilai RM321.9 juta ini secara berperingkat mulai Jun tahun hadapan sebaik proses ujian penilaian dan pensijilan selesai.

Kemungkinan pembinaan dua buah LCS yang siap kira-kira 60 peratus ini akan diteruskan tidak boleh ditolak memandangkan keperluan mendesak untuk memperkasa armada sedia ada.

Melalui Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini pula, Mindef menerima sebanyak RM15.86 bilion di mana RM1.6 bilion bagi perolehan aset baharu manakala penyelenggaraan aset utama pula berjumah RM2.3 bilion.

Pastinya pihak Mindef lebih arif untuk menguruskan perbelanjaan tersebut bagi terus memperkasakan ATM demi melindungi kepentingan negara.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!