Kualiti sungai semakin merosot

Pada tahun 2019, 25 sungai di Malaysia dikategori sebagai ‘mati’ yang melibatkan 16 sungai di Johor, Selangor (5), Pulau Pinang (3) dan Melaka (1). - Gambar hiasan. - Foto Bernama
Pada tahun 2019, 25 sungai di Malaysia dikategori sebagai ‘mati’ yang melibatkan 16 sungai di Johor, Selangor (5), Pulau Pinang (3) dan Melaka (1). - Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

ISU krisis bekalan air yang berpunca daripada pencemaran sungai perlu diberi perhatian sewajarnya kerana akses kepada bekalan air minuman bersih sangat penting untuk kelangsungan hidup dan kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia.

Memandangkan 98 peratus daripada bekalan air tawar negara berasal dari sungai, maka status dan kualiti air sungai perlu dititikberatkan agar sentiasa dalam keadaan baik dan lestari.

Selepas Selangor, Sik dan Kuala Muda di Kedah pula mengalami gangguan bekalan air berikutan pemberhentian sementara operasi tiga Loji Rawatan Air (LRA) yang menyalurkan bekalan air di dua daerah tersebut.

Tumpahan minyak telah mencemari kualiti air mentah sehingga menjejaskan pembekalan air bersih kepada pengguna di kawasan terbabit.

Kualiti air sungai dan krisis bekalan air lazimnya berkait antara satu sama lain kerana sungai yang terjejas dan tercemar dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan LRA dihentikan operasinya buat sementara waktu dan ketika inilah krisis bekalan air berlaku.

Apabila pencemaran tersebut berlaku, bekalan air kepada ribuan malahan jutaan pengguna akan terjejas, seperti yang kerap berlaku di Lembah Klang.

Lantaran itu, isu pencemaran sungai semakin mendapat perhatian di peringkat global mahupun tempatan.

Sungai sentiasa dianggap sebagai saluran mudah bagi pelepasan dan pembuangan sisa daripada aktiviti pembangunan, khususnya industri.

Artikel Berkaitan:

Lantaran itu, kualiti sungai di Malaysia semakin merosot, bahkan bekalan air bersih juga semakin berkurangan disebabkan pertambahan jumlah sungai yang tercemar.

Pada tahun lalu, 25 sungai di Malaysia dikategorikan sebagai ‘mati’ yang melibatkan 16 sungai di Johor, Selangor (5), Pulau Pinang (3) dan Melaka (1). Kesemua sungai ini berada pada Kelas 4 dan 5 yang dikategorikan tercemar teruk.

Sejak tahun 1920 lagi, Malaysia mempunyai undang-undang berkenaan air iaitu Akta Air 1920 diikuti pelbagai lagi perundangan dikuatkuasakan pelbagai agensi berkaitan.

Sekiranya ditinjau dari segi kemajuan dicapai Malaysia menerusi pelaksanaan peruntukan perundangan alam sekitar sedia ada, kelihatan ia masih tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Satu lagi aspek perlu diberi perhatian sewajarnya adalah pelbagai perundangan tersebut berada di bawah pelbagai agensi penguatkuasaan yang akhirnya menimbulkan permasalahan dalam tadbir urus sungai dan sumber air.

Antara lain, membabitkan tuding menuding jari antara agensi berkaitan apabila berlakunya pencemaran sungai.

Maka, pesalah yang melanggar peruntukan undang-undang tidak serik dan takut untuk mengulangi kesalahan mereka kerana tiada ketegasan dalam penguatkuasaan.

Menyentuh aspek penguatkuasaan, kita sering didedahkan bagaimana industri yang menjadi antara penyumbang utama pencemaran sungai hanya dikenakan kompaun kerana membuang efluen ke sungai.

Amat jarang kita mendengar kilang ditutup secara kekal atau pemiliknya dipenjara kerana tindakan itu.

Sikap acuh tidak acuh sebahagian anggota masyarakat diakui menjadi antara penyumbang kepada pencemaran sungai.

Sikap komuniti seperti ini secara tidak langsung menggagalkan usaha kerajaan dalam melestarikan sungai di negara ini.

Umumnya, sikap masyarakat Malaysia terhadap isu pelestarian sungai ini masih pada tahap yang membimbangkan.

Masyarakat harus diberi kesedaran berterusan bahawa usaha memastikan persekitaran sungai supaya sentiasa bersih perlu digalas bersama.

Dapat dirumuskan, masalah pencemaran sungai di negara ini berlaku bukan hanya disebabkan kelemahan perundangan secara total, malahan turut disumbangkan kelemahan dalam penguatkuasaan dan tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institusi Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia