Alvin Goh 'panjat pagar SPRM' kekal dalam tahanan polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Alvin Goh’ yang direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan sindiket perjudian dalam talian akan kekal dalam tahanan polis sehingga 20 Disember.

Ia berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid yang menolak permohonan ahli perniagaan itu yang nama sebenarnya adalah Goh Leong Yeong, 32, selepas dia memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan serta-merta.

“Setelah mempertimbangkan penghujahan bertulis dan otoriti yang dipohon oleh pemohon (Goh) dan responden, saya bersetuju dengan pihak responden untuk bantahan awal.

“Oleh itu, saya menolak permohonan (habeas corpus) ini,” kata Azhar dalam keputusan ringkas selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Alvin memfailkan permohonan itu melalui notis usul di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 November lepas, menamakan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, Gobind Singh Deo dan Jacky Loi mewakili Alvin manakala Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti bagi pihak responden.

Alvin dilaporkan melarikan diri dengan memanjat pagar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bulan lalu, sebaik sahaja dibebaskan SPRM berhubung siasatan mengenai perjudian dalam talian.

Terdahulu, Muhammad dalam hujahannya mengenai bantahan awal terhadap permohonan habeas corpus berkata, permohonan itu telah menjadi akademik dan tiada isu langsung kerana Alvin mencabar perintah reman 21 hari (sebelum ini) di bawah POCA.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi dia sekarang direman selama 38 hari, selepas polis mendapat perintah tahanan 38 hari lagi daripada Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat lepas.

“Bagaimanapun, permohonan hari ini adalah untuk mencabar perintah tahanan selama 21 hari itu,” katanya lagi.

Sementara itu, Sri Ram berhujah penahanan anak guamnya di bawah seksyen POCA, adalah tidak berperlembagaan, dan oleh itu apa-apa perintah yang dikeluarkan di bawahnya adalah tidak sah.

Kemudian, Muhammad memberitahu media bahawa Alvin sekarang menjalani tahanan 38 hari di bawah POCA yang berakhir pada 20 Disember.

Dalam permohonan itu, Alvin berkata, penangkapan dan penahanannya pada 27 Oktober lepas di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan di bawah Seksyen 4(1)(a) POCA pada 31 Oktober adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat mala fide (berniat jahat).

Lelaki itu juga memohon perintah bahawa perintah tahanan reman bertarikh 31 Oktober lepas oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membenarkan penahanannya selama 21 hari mulai 31 Oktober sehingga 21 November di bawah POCA adalah tidak sah.

Pada 2 November, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kana’, Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Koperal Mohd Hairy Mohammad untuk writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya mereka dibebaskan segera.

Mereka juga ditahan di bawah POCA untuk siasatan sama. - Bernama