Ramai terlebih belanja, lupa infak

Dari kiri: Fazrul, Shamsuddin, Mohamad Akram dan Ustaz Tarmizi pada Wacana Al-Quran bertajuk ‘Sistem Infak Ekonomi Norma Baharu’ di Dewan Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.
Dari kiri: Fazrul, Shamsuddin, Mohamad Akram dan Ustaz Tarmizi pada Wacana Al-Quran bertajuk ‘Sistem Infak Ekonomi Norma Baharu’ di Dewan Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.
A
A
A

RAMAI rakyat Malaysia berbelanja lebih daripada pendapatan bulanan yang diterima menyebabkan soal infak tidak pernah diberikan perhatian.

Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, dalam konteks Malaysia, seramai 27 daripada 30 orang yang menyertai kursus yang dikendalikannya berada dalam situasi tersebut.

“Pada pandangan saya, apa yang bahaya jika kita tidak menginfak ialah ia akan menjadi bom jangka kerana kita tidak membentuk masyarakat yang ringan menghulur dan memberi.“Sebagai contoh apabila berlaku kes rumah dilelong di kawasan kejiranan, ramai jiran menelefon anak mereka bertanyakan adakah mahu membeli rumah atau tidak.

Shamsuddin Kadir
Shamsuddin Kadir

“Bukankah sepatutnya kita sebagai jiran bertanyakan jiran yang dalam kesusahan itu apa masalah dihadapi mereka dan bantu,” katanya pada Wacana Al-Quran bertajuk ‘Sistem Infak Ekonomi Norma Baharu’ di Dewan Karangkraf di sini baru-baru ini.Wacana tersebut turut menampilkan Pengarah Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA), Profesor Dr Mohamad Akram Laldin; Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator serta qari My #QuranTime, Ustaz Tarmizi Ali yang memperdengarkan bacaan Surah al-Baqarah.

Shamsuddin berkata, infak dan mengumpulkan dana bagi membantu mereka yang memerlukan perlu dibudayakan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia yang berinfak jumlahnya kurang sebab mereka berbelanja lebih daripada gaji. “Faktor utama yang membuatkan infak ini tenggelam terus ialah majoriti rakyat mempunyai hutang yang membuatkan mereka semakin lama semakin miskin.

“Hutang kad kredit, pembiayaan peribadi dan hutang skim ansuran mudah.

Artikel Berkaitan:

“Ketiga-tiga ini akan menyebabkan hilangnya idea untuk menginfak sebaliknya hanya fokus untuk mencari duit bagi membayar hutang. Tambahan pula dengan Covid-19, ramai yang kehilangan pekerjaan,” katanya.

Sebagai seorang Islam, katanya, untuk membuatkan diri sentiasa prihatin dan sedia untuk menginfak ialah selalu melihat kepada mereka yang susah dan memerlukan bantuan serta golongan orang kurang upaya.

“Tidak ada halangan untuk kita berbelanja tetapi urus sebaik mungkin kewangan supaya kita tidak jatuh dalam kesusahan yang akhirnya membuatkan kita lupa untuk menginfak,” katanya.

Tambahnya, syarikat korporat terutama milik orang Islam dinasihatkan tidak terlalu terikut-ikut dengan budaya Barat seperti melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang hanya melihat kepada menaikkan jenama sendiri.

“Kenapa kita tidak laksanakan untuk akhirat dan bukan untuk menaikkan jenama syarikat.

“Saya perhatikan sesetengah CSR ini mereka lebih kepada menunjuk-nunjuk dengan hanya mencantikkan rumah tetapi ada orang di dalam rumah yang memerlukan makanan.

“Saya terlibat dengan NGO dan kejadian ini berlaku di sebuah negeri di Malaysia. Apabila pergi hantar beras, cucunya berlari ke arah nenek sambil berkata, hari ini kita boleh makan nasi,” katanya.