Penjaga haiwan berbelanja lebih, elak risiko strok haba

Badrul Hisham ambil langkah pencegahan termasuklah memindahkan haiwan ke tempat lebih redup bagi mengelak haiwan diuruskan diserang strok haba.
Badrul Hisham ambil langkah pencegahan termasuklah memindahkan haiwan ke tempat lebih redup bagi mengelak haiwan diuruskan diserang strok haba.
A
A
A

ALOR SETAR - Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini, sanggup berbelanja lebih sejak bulan lepas untuk keperluan kucing dan anjing di pusat pengurusan haiwan terbiar itu bagi mengelakkan haiwan itu terkena serangan strok haba akibat cuaca panas melampau melanda negara.

Penjaganya, Badrul Hisham Ramlee, 56, berkata, ia termasuklah tambahan kos lebih RM1,000 untuk keperluan ubatan-ubatan dan bekalan air bagi melindungi haiwan itu dari diserang penyakit terutamanya strok haba.

Menurut Badrul Hisham, Pak Mie Shelter perlu menyediakan air sendiri disebabkan kekurangan kemudahan termasuklah untuk bekalan air di pusat pengurusan haiwan itu.

"Jadi, kini kami perlu memperuntukkan lebih RM9,000 berbanding RM8,000 untuk pengurusan lebih kurang 350 kucing dan anjing setiap bulan.

"Kami mengambil pelbagai langkah pencegahan dan penjagaan sebaik mungkin memandangkan sedar bahawa cuaca panas melampau juga berisiko kepada haiwan kesayangan, selain manusia," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Badrul Hisham, pihak pengurusan Pak Mie Shelter sentiasa peka keadaan cuaca panas bagi menghindari risiko strok haba kepada haiwan terbiar itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya cuba meredakan kepanasan dialami haiwan diuruskan ketika cuaca panas dengan menambah lebih banyak bekas air di kawasan pusat pengurusan haiwan terbiar

"Kami berusaha memastikan bekalan air sentiasa mencukupi dan mengantikan ia dengan lebih kerap untuk meredakan simptom kepanasan.

"Kami sedar dan rasai bahang panas ini sejak bulan April lepas, sekali gus sentiasa memastikan haiwan ini tidak merasai kehangatan cuacanya," katanya.

Menurutnya, mereka turut memindahkan anjing yang diuruskan kepada kawasan lebih redup ketika ini bagi mengelakkan terkena cuaca panas terik.

Badrul Hisham berkata, cuaca tidak menentu dengan panas melampau dan hujan sejak kebelakangan ini di Kedah dikhuatiri menyebabkan haiwan ini lebih mudah terkena penyakit.

"Jadi, kami menambah peruntukan untuk membeli keperluan ubat-ubatan bagi memastikan haiwan tidak sihat seperti selesema dan demam dirawati segera," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan haiwan turut berdepan risiko diserang strok haba berikutan cuaca panas melampau melanda ketika ini.

Bekas Penolong Pengarah Zoo Negara yang juga Pensyarah Fakulti Farmasi Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, Prof Madya Datuk Dr Vellayan Subramaniam berkata, strok haba terhadap binatang juga boleh meragut nyawa, selain menyebabkan kerosakan organ dalaman haiwan jika tidak mendapat rawatan segera seperti mana manusia.

Beliau berkata, semua haiwan yang tergolong dalam kumpulan mamalia, reptilia mahupun burung turut mengalami strok haba, misalnya anjing dan kucing yang mempunyai kelenjar yang sangat sedikit yang terletak di tapak kaki dan sekitar hidung untuk berpeluh.

Dr Vellayan berkata, antara simptom strok haba seperti degupan jantung pantas, kesukaran bergerak, terpinga-pinga dan tidak menentu, menghasilkan banyak air liur serta lidah dan gusi biru kerana kekurangan oksigen dalam darah.