RCEP sokong kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan pilihan

Mohamed Azmin (dua dari kiri) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan sidang lain berkaitan hari ini. Foto: Bernama
Mohamed Azmin (dua dari kiri) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan sidang lain berkaitan hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menyumbang kepada langkah untuk mengekalkan Malaysia sebagai hab perdagangan dan destinasi pelaburan pilihan, kata Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, bagi perniagaan Malaysia, ia bermakna pemansuhan atau pengurangan tarif untuk barang dagangan, termasuk memudahkan eksport dan import barangan dalam kalangan negara-negara anggota RCEP.

“Penyedia perkhidmatan, termasuk (mereka yang terlibat dalam) e-dagang, akan dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar dari segi penawaran rentas sempadan dan mewujudkan kehadiran komersial dalam pasaran RCEP.

“Selain itu, RCEP akan menggalakkan, memudahkan dan melindungi iklim pelaburan negara-negara yang mengambil bahagian di rantau ini.

“Ini termasuk pertukaran maklumat dan galakan kepada langkah ketelusan untuk memudahkan perniagaan dan pelaburan di kawasan RCEP,” katanya kepada pemberita selepas pemeteraian perjanjian perdagangan terbesar di dunia itu di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, menyedari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan yang penting sebagai tulang belakang kepada setiap ekonomi, RCEP akan menawarkan peluang yang adil dan saksama antara negara maju dan negara kurang membangun.

Beliau berkata, terdapat bab khusus yang menyediakan peruntukan untuk pertukaran maklumat dan menggalakkan langkah-langkah ketelusan untuk memudahkan perniagaan dan pelaburan di rantau ini termasuk memberikan kerjasama ekonomi dan teknikal terutamanya kepada PKS.

Katanya, RCEP boleh menjadi instrumen kepada pemulihan ekonomi terhadap koronavirus (Covid-19) yang akan membantu memastikan pasaran dibuka dan rantaian bekalan tidak terganggu.

Artikel Berkaitan:

Mengenai penyertaan India dalam RCEP, Azmin menegaskan kepentingan untuk India kembali dan menyertai semula perjanjian perdagangan itu berikutan negara tersebut dapat memainkan peranan yang penting dalam memberikan kemakmuran di rantau ini.

Katanya, penyertaan India akan mewujudkan pasaran yang lebih besar berbanding 15 negara anggota, yang kini mewakili 28.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

“Kami mengalu-alukan penyertaan India, tetapi kami menghormati pendirian mereka untuk menyelesaikan isu domestik mereka,” katanya.

Mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPPA) menurutnya, Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk merumuskan sama ada perjanjian pelbagai hala itu akan dihidupkan semula.

Bagaimanapun, katanya, negara akan terus memantau dengan pentadbiran baharu di Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Presiden Joe Biden.

“Sudah tentu, kita akan menjangka pentadbiran baharu akan memberi lebih tumpuan kepada ASEAN dan bagaimana kita dapat mengukuhkan peluang perdagangan dan pelaburan AS-ASEAN berikutan rantau ASEAN mempunyai pasaran yang besar.

“Ternyata, ia akan menjadi kompetitif untuk meningkatkan kerjasama,” katanya. - Bernama