Kedah bentang Belanjawan 2021 sebanyak RM999.9 juta

Muhammad Sanusi menunjukkan buku Belanjawan Kedah 2021 ketika tiba di Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.
Muhammad Sanusi menunjukkan buku Belanjawan Kedah 2021 ketika tiba di Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah membentangkan Belanjawan 2021 sebanyak RM999.9 juta dengan jangkaan defisit 11 peratus meningkat berbanding 8.20 peratus pada 2020.

Bajet bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ itu merupakan belanjawan sulung Perikatan Nasional (PN) Kedah dibentangkan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dalam suasana ekonomi menguncup akibat pandemik koronavirus (Covid-19) yang diramal berlarutan sehingga tahun depan.

Menurut beliau, daripada RM999.9 juta itu, peruntukan perbelanjaan mengurus membabitkan RM798.8 juta, meningkat sebanyak lima peratus atau RM39 juta berbanding tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM95.6 juta diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, manakala peruntukan pembangunan sebanyak RM200.99 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah mencatatkan penerimaan hasil sebanyak RM504 juta sehingga 13 November lepas iaitu 72 peratus daripada anggaran awal kutipan hasil berjumlah RM701.94 juta bagi tahun ini.

“Kekurangan hasil itu adalah susulan beberapa keputusan kerajaan negeri bagi meringankan beban rakyat akibat pandemik Covid-19 sepanjang tahun ini. Antaranya, pelanjutan bayaran cukai tanah semasa dengan mengecualikan denda lewat berkuatkuasa 1 Jun hingga 30 September lepas dan bayaran ansuran dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

"Ini termasuk penangguhan bayaran bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September lepas kepada penghuni skim sewa beli Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR), selain pengecualian bayaran lesen hiburan kepada pelesen yang terkesan dan tidak dapat beroperasi bagi Mac hingga Jun,” katanya.

Menurutnya, pengecualian bayaran turut diberikan bagi sewaan kedai bawah seliaan Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September lepas.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil pada 2021 sebanyak RM720 juta iaitu peningkatan RM18 juta berbanding anggaran bagi 2020.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM314 juta adalah hasil cukai, RM246 juta hasil bukan cukai dan RM160 juta adalah terimaan bukan hasil. Hasil cukai merupakan penyumbang terbesar kepada hasil negeri sebanyak 44 peratus, manakala hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil, masing-masing menyumbang 34 peratus dan 22 peratus,” katanya.

Menurutnya, bawah peruntukan mengurus (RM798.8 juta), sebanyak RM88.9 juta dikhususkan untuk perbelanjaan tanggungan, manakala perbelanjaan perbekalan sebanyak RM709.9 juta.

“Tahun 2021 merupakan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan terdapat pelbagai pelan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan Kedah.

"Kerajaan negeri akan berusaha menggembleng tenaga semua jabatan negeri dan persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri dan swasta memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, mulai 2021, satu Kumpulan Wang Pembangunan Hutan diwujudkan bertujuan untuk pembangunan hutan dan peruntukan diluluskan adalah RM8.1 juta.

“Imbangan bagi menampung perbelanjaan bagi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan ini adalah daripada kutipan cukai ses pembangunan hutan dan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup,” katanya.

Katanya, bagi Projek Pembangunan Bekalan Air pula, sebanyak RM71.9 juta diperuntukkan menggunakan pembiayaan pinjaman daripada kerajaan Persekutuan.

“Dengan mengambil kira unjuran hasil, perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan kerajaan, defisit bagi 2021 dianggarkan 11 peratus atau RM78.88 juta,” katanya.