Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

NILAI ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga pagi ini sementara para pelabur pula masih menantikan pengeluaran data senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5990/6030 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis pada paras 4.6110/6165.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, pelabur masih belum pasti mengenai hala tuju menjelang pengeluaran data senarai gaji bukan ladang AS.

"Dari sudut teknikal, penunjuk Indeks Kekuatan Relatif (RSI) menunjukkan bahawa dolar AS/ringgit berada dalam keadaan terlebih beli dan ringgit boleh meningkat lebih jauh sekiranya pergerakan berjaya menembusi paras 4.5860.

"Jika itu berlaku, gandingan dolar AS/ringgit boleh mencapai 4.5260," katanya dalam satu nota.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit boleh stabil dan diunjur mencatatkan sedikit peningkatan, didorong oleh perkembangan positif mengenai had hutang AS.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai kepada 3.3101/3132 berbanding yen Jepun daripada 3.2995/3036 pada penutupan urus niaga Khamis, turun berbanding euro kepada 4.9494/9537 daripada 4.9356/9415 dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.7602/7653 daripada 5.7407/7475 semalam.

Unit tempatan turut diniagakan kebanyakan rendah berbanding mata wang Asean yang lain.

Nilai ringgit turun berbanding bhat Thai kepada 13.2823/3008 daripada 13.2569/2792 semalam dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4117/4149 daripada 3.4095/4138 semalam.

Ringgit lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 306.6/307.1 daripada 307.4/308.0 pada Khamis dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.19/8.21. - Bernama