Kontroversi Yadim: Lantik ahli politik undang masalah

 Ir Khairil Nizam
Ir Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menyifatkan pelantikan ahli politik dari parti komponen PH untuk menerajui institusi atau badan penting negara termasuklah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) merupakan ‘kontroversi’ yang boleh mengundang masalah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sheikh Omar sah dilantik ahli lembaga pemegang amanah Yadim

Timbalan Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ini kerana pembabitan ahli politik yang ramai dalam sesebuah organisasi awam dikhuatiri boleh mengakibatkan perjuangan asal institusi itu tersasar.

“Hasrat melihat institusi atau badan berkenaan bebas dari pengaruh politik, berintegriti dan diyakini awam, profesional dan cemerlang, kini hanya tinggal kenangan.

“Sedangkan, ianya dinyatakan sendiri oleh pemimpin-pemimpin (bahawa tiada pelantikan berasaskan politik dalam kerajaan) yang sedang memegang tampuk kuasa ketika ini.

“Namun, apa yang berlaku sebaliknya apabila pelantikan ramai ahli politik di dalam Yadim yang secara jelas menunjukkan perlumbaan rakus untuk membolot jawatan antara parti-parti berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Khairil Nizam turut mempersoalkan sama ada di negara ini tiada lagi pakar atau golongan profesional sehingga sebahagian besar ahli politik dilantik menganggotai badan yang ditubuhkan untuk menyelaraskan kegiatan badan dakwah serta badan bukan kerajaan (NGO) agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara.

“Apakah tiada lagi kalangan pakar dalam negara ini sesuai dilantik di kedudukan berkenaan? Atau inilah petunjuk bahawa PH mengenepikan mereka yang berkelayakan?.

Artikel Berkaitan:

“Atau sebenarnya PH gagal mendapat kepercayaan golongan tersebut? Mungkin inilah sebabnya dapat dilihat berlaku peletakan jawatan ramai profesional dan pakar dari institusi atau badan berkaitan sejak PH memerintah,”katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kaji semula lantikan politik di Yadim'

ARTIKEL BERKAITAN: Tarik semula pelantikan Sheikh Omar

Kerajaan PH terus dikecam hebat pelbagai pihak selepas senarai lantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim dikuasai orang politik didedahkan.

Ia termasuklah pelantikan Adun Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali ke dalam Yadim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebelum ini memberi amaran kepada semua pihak untuk tidak terus mempertikai lantikan yang telah dibuat itu.