'Kaji semula lantikan politik di Yadim'

Haslihelmy DM Zulhasli
Haslihelmy DM Zulhasli
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Kebajikan Melayu Bersatu Pahang meminta kerajaan mengkaji semula pelantikan ahli-ahli politik sebagai anggota lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang mengundang persepsi pelbagai pihak.

Timbalan Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, tindakan itu tidak wajar dan ia perlu diperbetulkan secepat mungkin kerana akan mewujudkan tohmahan daripada masyarakat.

Menurutnya, bukan sahaja pelantikan Adun Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali dipertikai bahkan kesemua lantikan dalam agensi di bawah kerajaan itu dipersoalkan ramai pihak kerana didominasi individu mempunyai kaitan politik.

"Jawatan dalam Yadim sepatutnya bukan dilantik dalam kalangan ahli politik seperti zaman pemerintahan BN sebelum ini.

“Walaupun Sheikh Omar beragama Islam, isunya beliau daripada DAP.

“Macam mana nak bersangka baik kalau tindakan itu sendiri mewujudkan tohmahan. Jadi, kita rasa tidak sesuai seorang wakil rakyat DAP berada dalam Yadim walaupun beragama Islam," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Haslihelmy berkata, sekiranya tiada kajian semula dibuat berhubung pelantikan itu, PH boleh dianggap munafik kerana melanggar janji manifesto mereka yang menegaskan tiada lantikan politik untuk jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan.

Menurutnya, satu persatu jawatan di GLC dan agensi kerajaan ‘diberikan kepada parti-parti komponen PH walaupun ramai lagi individu lain yang lebih layak dalam kalangan teknokrat, ahli akademik atau golongan agamawan.

Artikel Berkaitan:

“Dahulunya mereka inilah yang bersungguh-sungguh membongkar skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan BN dan kononnya merekalah yang paling suci dan berintegriti, tetapi sebenarnya mereka ini yang rakus merebut segala posisi dan kedudukan yang ada.

“Malah, lebih tamak jika dibanding dengan kerajaan terdahulu sehingga mahu membolot hampir kesemua jawatan yang ada tanpa mengira kesan buruk kepada institusi-institusi berkenaan

"Sepatutnya Yadim mestilah diduduki oleh mereka yang tidak nampak jalur politik. Ketika zaman BN, orang yang aktif dalam parti tidak berada dalam Yadim,” katanya