[VIDEO] Pengusaha tadika rayu dibenarkan beroperasi ikut zon

Zubaidah bersama pengusaha tadika swasta ketika mengadakan sidang akhbar di Rumah Persatuan di Kotasas, Kuantan semalam.
Zubaidah bersama pengusaha tadika swasta ketika mengadakan sidang akhbar di Rumah Persatuan di Kotasas, Kuantan semalam.
A
A
A

KUANTAN - Pengusaha tadika swasta di negeri ini merayu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mereka dibenarkan beroperasi semula.

Pengerusi Persatuan Pendidikan Awal Kanak-kanak Pahang, Zubaidah Husain berkata, permohonan itu dibuat susulan Pahang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Atas alasan itu, katanya, pihaknya meminta KPM memberi pengecualian terhadap penutupan semua sekolah seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Ahad lalu.

"Pahang adalah negeri yang berada dalam kawasan zon hijau. Kebanyakan ibu bapa bekerja, jadi di mana mahu menghantar anak-anak mereka sewaktu bekerja?

"Situasi ini sebenarnya menggusarkan apabila segelintir ibu bapa memilih untuk mencari penempatan yang tidak mempunyai pentauliahan sewajarnya.

"Jadi, kita mahu kerajaan mengkaji semula arahan penutupan premis tadika swasta di bawah KPM. Kalau boleh berilah pengecualian kepada tadika di kawasan PKPP beroperasi," katanya pada sidang akhbar di Rumah Persatuan di Kotasas di sini semalam.

Zubaidah berkata, pengusaha tadika swasta bergantung pendapatan daripada jumlah kanak-kanak yang dihantar ke pusat berkenaan.

Menurutnya, penutupan itu menyebabkan pengusaha hilang punca pendapatan secara total sedangkan kos pengoperasian terpaksa diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Bila diarahkan tutup, pendapatan kita tiada tapi kos operasi seperti gaji pekerja, sewa rumah, utiliti, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang merupakan kos tetap bulanan perlu disediakan walaupun kita tidak beroperasi.

"Pemberhentian pekerja juga tidak dibenarkan Jabatan Tenaga Kerja dalam tempoh PKPP. Jadi pengusaha tadika swasta terpaksa menanggung kos tinggi sedangkan pekerja tidak bekerja," katanya.