PDRM kesan 400 penduduk Medan 88 tidak pulang kediaman

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan itu diumumkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa mulai semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara berkenaan (mengesan penduduk) telah dipersetujui dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara untuk PDRM berbuat sedemikian.

Beliau berkata, PDRM akan menahan mana-mana penduduk yang lari dari kawasan itu seperti yang pernah dilaksanakan kepada penduduk Selangor Mansion, di sini, yang dikenakan PKPD pada April lepas.

“Sewaktu kawasan Selangor Mansion dikenakan PKPD, ramai pekerja asing melarikan diri dan kita dapat tangkap mereka satu persatu.

“Arahan menangkap mereka juga telah dikeluarkan dan kali ini lebih mudah sebab ada majikan-majikan yang bersubahat membawa mereka lari menaiki bas (dari kawasan PKPD Medan 88),” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan di sini.

Ismail Sabri berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja kepada pekerja asing, malah juga akan menahan majikan yang bersubahat membawa pekerja mereka melarikan diri.

“Ini kerana tindakan mereka boleh membahayakan nyawa orang lain dan menyusahkan pihak berkuasa untuk mengesan mereka,” katanya.

Hari ini, Bernama melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat berduri bagi pelaksanaan PKPD.

Pengerusinya, Mohamad Zain A Hamid berkata, perkara itu dimaklumkan kepada jawatankuasa itu oleh rakan serumah atau keluarga penghuni yang tidak pulang ke rumah, sebaik mengetahui kawasan itu akan dikenakan PKPD.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, majikan boleh mengemukakan permohonan untuk membawa pembantu rumah warga asing mereka yang terkandas, untuk masuk semula ke negara ini namun kelulusannya tertakluk kepada Jabatan Imigresen.

Artikel Berkaitan:


“Kebenaran hanya diberi kepada individu yang mempunyai kes-kes kecemasan seperti perlu menjaga ibu bapa yang uzur atau mempunyai anak orang kurang upaya yang sebelum ini dijaga oleh pembantu rumah.

“Individu yang tidak mempunyai masa boleh diberi kelonggaran untuk memohon untuk berbuat demikian,” katanya. - Bernama