Tiga lagi kluster baharu Covid-19 dikesan

Tiga lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Karamunting, Saga dan Haven dikesan di tiga daerah di Sabah hari ini.
Tiga lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Karamunting, Saga dan Haven dikesan di tiga daerah di Sabah hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Karamunting, Saga dan Haven dikesan di tiga daerah di Sabah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Karamunting yang dikesan di Sandakan membabitkan kes indeks (ke-18,492) hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

Menurutnya, hasil saringan kontak rapat mengesan 20 lagi kes positif Covid-19 dan mereka dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Kompleks Sukan Sandakan dan Dewan Rafflesia Sandakan.

“Sehingga 12 tengah hari ini, 30 individu disaring dengan 21 kes dikesan positif manakala sembilan individu dikesan negatif,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Kluster kedua iaitu Kluster Saga di Kota Kinabalu membabitkan kes indeks (ke-41,492) hasil saringan individu bergejala pada 8 November lalu.

Beliau berkata, hasil saringan kontak rapat mengesan lapan lagi kes positif Covid-19 dan mereka dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

Daripada 56 individu yang disaring sehingga tengah hari tadi, sembilan kes dikesan positif manakala 47 masih menunggu keputusan.

Katanya, Kluster Haven yang dikesan di Lahad Datu menyaksikan lima kes indeks dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 5 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Hasil saringan kontak rapat mengesan enam lagi kes positif Covid-19 dan mereka dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Program Perumahan Rakyat (PPR) Payang dan Hospital Lahad Datu.

Sehingga tengah hari tadi, 140 individu disaring dengan 11 kes dikesan positif, 112 negatif manakala 17 individu masih menunggu keputusan. - Bernama