Sembilan lelaki didakwa culik buruh

Sembilan lelaki termasuk enam warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik seorang buruh warga Myanmar, bulan lalu. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Sembilan lelaki termasuk enam warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik seorang buruh warga Myanmar, bulan lalu. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sembilan lelaki termasuk enam warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik seorang buruh warga Myanmar, bulan lalu.

Kesemua tertuduh ialah Nizam Mohd Yusuf, 28, Johan Anuar, 39, dan Muhammad Ridzuan A Hashim, 24, enam warga Myanmar iaitu Bosiullah Amir Hussin, 30; Ali Ullah Kalim Ullah, 33; Rohim Ullah Hasson, 33; Mohammad Noor Soyod Alam, 26; Nur Kamal Mohd Anis, 30 dan Soyadul Rahaman Abdul Shukur, 28, dan seorang lagi yang masih bebas.

Mereka didakwa menculik Ali Didar, 39, dengan niat untuk menahan mangsa bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM300,000 di Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam di sini kira-kira jam 2.15 petang pada 20 Oktober lalu.

Kesemua sembilan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh dan mereka hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Sri Praca Nanthini Balabedha.

Praca kemudian menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan telekomunikasi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan manakala enam tertuduh warga Myanmar diwakili peguam T Turuvandran dan peguam Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri mewakili tiga tertuduh lain.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pekerja kilang didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah menghalang tugas anggota polis melakukan pemeriksaan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Jovinthen Jarman, 19, yang berketurunan Dusun itu didakwa menghalang penjawat awam Lans Koperal Muhammad Syahir Hasmi melakukan pemeriksaan di Jalan Taman Limau Manis berhadapan Red Pub Bukit Tengah di sini pada 1.30 pagi, Ahad lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya atau dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak menghalang polis dengan menolak anggota polis berkenaan sehingga jatuh dan mengeluarkan perkataan "Kalau kamu berani buka uniform kita lawan bah" bagi mencabar anggota polis itu. - Bernama