Lelaki ditahan cuba seludup minuman keras

Pelbagai jenis ikan dipercayai ditangkap dengan menggunakan bahan letupan dirampas di perairan Pulau Manampilik, Semporna.
Pelbagai jenis ikan dipercayai ditangkap dengan menggunakan bahan letupan dirampas di perairan Pulau Manampilik, Semporna.
A
A
A

LABUAN - Tindakan seorang lelaki cuba menyeludup keluar sebanyak 67 kotak minuman keras dari pulau itu dengan menggunakan bot laju gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan di perairan Navy, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun yang juga juragan bot turut ditahan.

Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Inspektor Shafiq Rezza berkata, tangkapan dibuat ketika sepasukan anggotanya menjalankan rondaan di perairan tersebut.

"Sebuah bot laju jenis kargo dikesan bergerak dari Labuan menuju ke Menumbuk, Sabah dan hasil pemeriksaan terhadap muatan di dalam kargo iaitu sejumlah minuman keras pelbagai jenama di dalamnya.

"Minuman keras yang bernilai RM9,200 termasuk cukai itu dipercayai cuba diseludup keluar dari Labuan ke Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, lelaki terbabit ditahan untuk membantu siasatan bagi kesalahan menyeludup barangan tanpa cukai.

"Selain minuman keras, bot laju bersama enjin turut dirampas dan nilai keseluruhan rampasan adalah melebihi RM70,000.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Shafiq berkata, kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok jika tidak dibanteras boleh menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

"PPM sentiasa mengalu-alukan orang awam khususnya masyarakat maritim sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam membantu menjaga keamanan perairan negara," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, PPM turut merampas 18 kilogram pelbagai jenis ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Manampilik, Semporna.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, tiga bot pam berjaya dirampas manakala juragan bot melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PPM.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, kesemua bot pam dan ikan dirampas serta dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985. Keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM6,090," katanya.