Kucing buat perangai lepak atas pokok pinang

Seekor kucing disifatkan warganet buat perangai memanjat pokok pinang dalam kejadian pada Rabu lalu. Foto Pembaca
Seekor kucing disifatkan warganet buat perangai memanjat pokok pinang dalam kejadian pada Rabu lalu. Foto Pembaca
A
A
A

LIMBANG - Usaha kecil menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas pokok pinang bertukar lucu apabila haiwan itu akhirnya turun sendiri dalam kejadian di Sarawak, minggu lalu.

Kejadian itu dirakam pengguna TikTok bernama @gzanyebbapixca meraih perhatian ramai apabila kelihatan kucing berwarna tompok kelihatan 'duduk' di atas tandan buah pinang setinggi 15 meter berkenaan.

Menurut Anizan Basar, dia yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Telahak di sini, awalnya terdengar suara kucing 'mengiau' terlalu kuat dan usaha mencari dijalankan bersama seorang lagi guru, rakan anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan dua pekerja lain.

"Bunyinya kuat seolah-olah meminta tolong dan kami ingatkan kucing itu terperangkap dalam kelas jadi, kami memeriksa setiap bilik hinggalah penolong kanan pentadbiran terperasan haiwan itu di atas pokok.

"Kami syak kucing itu sudah semalaman berada di atas sana memandangkan kawasan sekitar jam 8 pagi itu sudah dinaiki air banjir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dua petugas membawa tangga dalam usaha awal membawa turun kucing yang terperangkap di atas pokok pinang setinggi 15 meter. Foto Pembaca
Dua petugas membawa tangga dalam usaha awal membawa turun kucing yang terperangkap di atas pokok pinang setinggi 15 meter. Foto Pembaca

Guru matematik itu berkata, bantuan awal dilakukan dengan menggunakan tangga namun gagal berikutan batang pokoknya yang kecil dan tinggi menyebabkan tangga itu kurang stabil.

"Keadaan itu sangat bahaya buat dua pekerja berkenaan, jadi kami ambil keputusan meninggalkan tangga tersebut dan berharap kucing itu dapat turun.

Artikel Berkaitan:

"Sekitar jam 4 petang, kucing itu berjaya turun dengan sendiri dan selamat tapi tidak ikut tangga pun," katanya.

Tambah Anizan, dia tidak menyangka rakaman video yang dimuat naik di akaunnya itu mendapat perhatian warganet hingga ditonton sebanyak 36,900 kali.

"Kucing itu kucing liar. Kalau panjat alang bilik darjah, duduk atas atap adalah pemandangan biasa kami di sekolah ini cuma luculah dia buat perangai panjat pokok pinang pula," katanya.

Ringkasan AI

  • Usaha menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas pokok pinang di Sarawak bertukar lucu bila kucing itu turun sendiri
  • Kucing berwarna tompok duduk di atas tandan buah pinang setinggi 15 meter
  • Anizan Basar dan beberapa individu lain berusaha mencari sumber suara mengiau kucing yang kuat
  • Bantuan awal menggunakan tangga gagal kerana batang pokok yang kecil dan tinggi
  • Kucing itu akhirnya berjaya turun dengan sendirinya pada jam 4 petang tanpa menggunakan tangga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!