Efluen dari loji IWK disyaki punca pencemaran bau

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Pencemaran bau yang mengakibatkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, SSP 1, 2, dan 3 disyaki berpunca daripada discaj efluen dari loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 225 Taman Velox, Rawang.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, siasatan yang dijalankan Lembaga Urus Air Selangor(Luas) mendapati discaj efluen tersebut akibat daripada pelepasan tanpa kebenaran/illegal discharge ke lurang/manhole berhampiran.

"Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menerima laporan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. berhubung loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 12.20 tengah hari, dan LRA SSP1, SSP2 serta SSP3 pada jam 1 tengah hari tadi ekoran insiden pencemaran bau yang telah dikesan di Sungai Selangor.

"Bau sehingga 8 ton dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang dan LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 pada tahap 4 ton," katanya menerusi sidang media yang diadakan di Loji Rawatan Kumbahan Taman Velox, Rawang di sini hari ini.

Beliau berkata, LUAS telah mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA utama di bahagian hilir Sungai Selangor.

"LUAS melaksanakan langkah nyah bau dengan meletakkan 37 beg activated carbon untuk mengawal pencemaran di lokasi.

"Jarak lokasi Loji IWK ke LRA Rantau Panjang adalah anggaran 12 kilometer," katanya.

Menurutnya, dalam usaha menangani isu bau di Sungai Selangor pihak LUAS telah mengaktifkan Operasi Pengepaman Air Kolam (Opak) Bestari Jaya sehingga 192 juta liter/hari (JLH) bagi tujuan meningkatkan faktor pencairan (dilution factor).

Artikel Berkaitan:

"Selain itu tindakan diambil dengan pelepasan air Empangan Sungai Tinggi 500 JLH dan Empangan Sungai Selangor 300 JLH serta menaikkan semua river gate di Baraj Bestari Jaya bagi tujuan flushing dan mempercepatkan aliran ke hilir sungai.

"LUAS, AIR Selangor dan pihak-pihak terlibat sedang bertungkus-lumus menjalankan siasatan dan langkah mitigasi segera bagi menangani insiden ini," katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,139,008 akaun pengguna di 1,279 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor berdepan gangguan bekalan air bermula petang ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menerusi satu kenyataan memaklumkan, ia merangkumi kawasan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 1.13 juta akaun pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor

Cadang kerajaan Selangor beri air percuma sebulan: Noh