X

Kindly register in order to view this article
!

Cadang kerajaan Selangor beri air percuma sebulan: Noh

Noh (depan, dua dari kanan) menyampaikan sumbangan Deepavali Parlimen Tanjong Karang di Dewan Kuil Bukit Belimbing di sini hari ini.
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan Selangor dicadangkan memberi air percuma sekurang-kurangnya selama sebulan kepada pengguna terjejas berikutan kekerapan gangguan bekalan air yang berlaku di negeri ini.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, isu ketiadaan bekalan air bukan salah rakyat dan sewajarnya mereka diberi bekalan air percuma terutama dalam keadaan rakyat berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya bertanggungjawab berhubung isu pencemaran yang berlaku di Sungai Selangor hingga mengakibatkan empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang di sini, terpaksa dihenti tugas petang tadi.

"Jika rakyat tidak membayar bil air, mereka cepat sahaja mengambil tindakan dengan memotong bekalan.

"Tetapi masalah berlaku ini bukan daripada rakyat, sebaliknya salah kerajaan negeri yang tidak dapat menguatkuasakan tindakan tegas terhadap pesalah yang melakukan pencemaran sungai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Parlimen Tanjong Karang di Dewan Kuil Bukit Belimbing di sini hari ini.

Seramai 1,125 kaum India di Parlimen itu menerima sumbangan berupa barangan keperluan seperti beras, bihun, serbuk kari, minyak, susu dan gula.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, beliau merasakan inilah masa sesuai untuk kerajaan Selangor memberikan air percuma kepada rakyat yang menderita dengan isu gangguan bekalan air.

"Mengapa dahulu kerajaan negeri boleh memberikan bantuan air percuma 20 meter padu kepada rakyat sebelum skim ini diganti dengan Skim Air Darul Ehsan (SADE) kepada kumpulan sasar dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah.

"SADE ini yang terpilih tentu dapat, kita minta kerajaan negeri mempertimbangkan agar semua isi rumah di negeri ini yang terjejas akibat isu gangguan bekalan air menerima air percuma selama sebulan," katanya.

Noh berkata, beliau sendiri turun padang merasai keluhan pengguna yang terpaksa mengangkut air bagi mendapatkan bekalan air.

"Saya amat simpati apabila melihat penduduk terutama yang tinggal di rumah pangsapuri terpaksa mengangkut baldi berisi air hingga ke tingkat lima atau tingkat enam semata-mata untuk mendapatkan bekalan air," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebanyak 1.13 juta akaun pengguna di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat bakal berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan empat LRA akibat insiden pencemaran bau.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, gangguan bekalan tidak berjadual membabitkan tujuh wilayah itu berlaku pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor hingga mengakibatkan empat LRA terbabit telah dihenti tugas pada jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!