MBDK ketengahkan potensi Bandar Diraja Klang di peringkat antarabangsa

KLANG – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terus memperluas pengiktirafan Bandaraya Diraja Klang di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain dalam UCLG ASPAC Council, Haikou 2026 di Hainan, China.
Menerusi forum utama program berkenaan, Abd Hamid membentangkan tajuk Klang Royal City: Balancing Port Growth with a Green, Smart and Inclusive Future yang mengetengahkan pendekatan pembangunan bandar secara seimbang, mampan, pintar dan inklusif.
Pembentangan itu turut menonjolkan kedudukan strategik Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk maritim utama Malaysia, selain peranannya dalam sektor perkapalan, logistik, pengendalian kontena, perindustrian dan perdagangan antarabangsa.
Dalam aspek perancangan pembangunan bandar, MBDK mengetengahkan Pelan Tempatan Bandar Diraja Klang 2035 (Pindaan 1) yang mengambil kira perkembangan sektor perindustrian, termasuk kewujudan lebih 36 kawasan perindustrian serta kawasan baharu yang sedang dibangunkan.
Pada masa sama, aspek kelestarian alam sekitar terus menjadi keutamaan menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon, program pembersihan sungai dan penglibatan komuniti.
Usaha itu turut disokong kerjasama strategik serta pengukuhan tadbir urus melalui pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).
Abd Hamid menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat bagi memastikan Bandaraya Diraja Klang kekal berdaya saing dan selesa didiami.
"Pendekatan pembangunan yang seimbang penting bagi memastikan kemajuan ekonomi bandar dapat dinikmati penduduk tanpa mengabaikan aspek kelestarian untuk generasi akan datang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Penyertaan dalam UCLG ASPAC Council, Haikou 2026 itu menjadi platform bagi MBDK memperkenalkan potensi Bandaraya Diraja Klang kepada komuniti antarabangsa.
Ia juga membuka peluang kepada perkongsian pengalaman serta amalan terbaik dalam pembangunan bandar, khususnya berkaitan aspek kemampanan, penggunaan pendekatan pintar dan keterangkuman masyarakat.
MBDK dalam pada itu komited meneruskan usaha memperkukuh perancangan bandar, meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran serta memacu pembangunan yang memberi manfaat kepada penduduk dan generasi akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
