Tindakan pantas LUAS elak henti tugas LRA Semenyih

Tindakan pantas LUAS mengawal pencemaran di lembangan Sungai Langat pada Isnin berjaya mengelakkan henti tugas LRA Semenyih. Kenyataan Hee Loy Sian pada Selasa.
Tindakan pantas LUAS mengawal pencemaran di lembangan Sungai Langat pada Isnin berjaya mengelakkan henti tugas LRA Semenyih. Kenyataan Hee Loy Sian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengawal pencemaran di lembangan Sungai Langat pada Isnin berjaya mengelakkan henti tugas loji rawatan air (LRA) Semenyih.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, agensi berkenaan bersama pihak berkuasa lain menerima maklumat daripada orang awam membabitkan beberapa premis di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.

Menurutnya, hasil semakan dan pemeriksaaan mendapati terdapat aliran air daripada sebuah kilang yang mengalir ke saliran berhampiran dan berpotensi menjejaskan Sungai Kabul terletak 200 meter daripada lokasi itu.

“Pemerhatian LUAS mendapati efluen yang mengalir keluar daripada premis disyaki limpahan air proses kitar semula plastik dan air yang berbau dalam kawasan berkenaan.

“Penemuan juga mendapati tiada sistem pengumpulan air sisa yang disyaki berkemungkinan dilepaskan ke persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Loy Sian berkata, berikutan itu LUAS mengeluarkan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis untuk menghentikan pelepasan efluen serta-merta dan membuat pembersihan segera.

Menurutnya, pemilik premis juga diarah untuk memulihkan kawasan itu kerana ia berisiko tinggi menghasilkan air sisa dengan kuantiti tinggi dan boleh menyebabkan pencemaran.

“LRA Semenyih pada jarak anggaran 17 kilometer di bahagian hilir premis juga berisiko berdepan henti tugas jika berlaku pelepasan air sisa yang banyak dalam tempoh lama,” tambahnya.