Polis awasi Jalan Ipoh-Lumut

Ahmad Adnan (kiri) bersama penunggang motosikal yang menerima topi keledar percuma daripada Perkeso ketika program tersebut.
Ahmad Adnan (kiri) bersama penunggang motosikal yang menerima topi keledar percuma daripada Perkeso ketika program tersebut.
A
A
A

BATU GAJAH - Jalan Ipoh-Lumut akan diberikan tumpuan oleh pihak polis sepanjang Ops Selamat 2019 sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laluan tersebut merupakan laluan utama menghubungkan Ipoh dengan Lumut.

Katanya, sepanjang musim perayaan itu nanti terutama pada cuti dua hari sempena Tahun Baharu Cina berkenaan laluan tersebut dijangka sesak dengan pertambahan kenderaan.

"Kami telah menggerakkan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah untuk memantau sepanjang jalan di dalam daerah Batu Gajah mengelak berlakunya kemalangan.

"Laluan sepanjang 17km di bawah penguatkuasaan IPD Batu Gajah itu akan dipantau dan diberikan perhatian," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Pelancaran Ops Selamat Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat IPD Batu Gajah di Stesen Petronas BG Perdana, di sini.

Beliau berkata, antara lokasi yang kerap berlaku kemalangan adalah di simpang tiga Batu Gajah Perdana, KM13 Jalan Ipoh-Lumut dan Jalan Batu Gajah -Tanjung Tualang.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Adnan berkata, orang ramai diminta memaklumkan kepada pihak polis jika berhasrat untuk meninggalkan rumah dalam tempoh masa yang lama.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara itu penting bagi memudahkan pergerakan anggota membuat rondaan ke kawasan perumahan yang ditinggalkan bagi mengelak kes pecah rumah berlaku.

"Kita meneruskan konsep yang sama di mana orang ramai yang ingin pulang ke kampung boleh memaklumkan melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau memaklumkan kepada balai polis berhampiran.

"Setiap makluman balik kampung pihak polis akan membuat rondaan lebih kerap ke kawasan perumahan yang ditinggalkan," katanya.

Sementara itu, mengenai kempen berkenaan, beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) dan Community Policing mengadakan program tersebut.

Menurutnya, kempen tersbeut dibuat bertujuan mendidik masyarakat kerana sepanjang musim perayaan banyak kemalangan jalan raya dan kes pecah rumah berlaku.