Kerajaan perlu salur peruntukan saksama kepada ahli Parlimen

Aira (tengah) ketika program Wacana Sinar Harian Siri ke-206 bertajuk ‘Bajet 2021: Demi Rakyat Atau Survival Negara?' yang disiarkan secara langsung di Studio F Kumpulan Karangkraf di Shah Alam malam tadi.
Aira (tengah) ketika program Wacana Sinar Harian Siri ke-206 bertajuk ‘Bajet 2021: Demi Rakyat Atau Survival Negara?' yang disiarkan secara langsung di Studio F Kumpulan Karangkraf di Shah Alam malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan sama rata dan saksama perlu diberikan kepada semua ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang bagi menjamin pembangunan di kawasan masing-masing.

Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Aira Azhari berkata, sebagai wakil rakyat, mereka memerlukan dana untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Peruntukan penting untuk pembangunan kawasan dan ini menimbulkan persepsi dan timbul isu terutama di kawasan pembangkang. Wakil rakyat mereka tidak cukup cakna tentang masalah di kawasan masing-masing.

“Perkara (peruntukan) ini penting kerana ada sesetengah rakyat hanya bergantung kepada wakil rakyat mereka untuk mendapatkan bantuan. Jadi timbul isu di sini di mana peranan agensi kerajaan dalam memberikan bantuan kepada rakyat sehinggakan rakyat terus dan terlalu bergantung kepada wakil rakyat.

“Jika sekiranya Covid-19 tidak memilih warna kulit, bangsa, agama dan sebagainya, pada saya ini polisi asas yang perlu kerajaan lihat,” katanya pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-206 bertajuk ‘Bajet 2021: Demi Rakyat Atau Survival Negara?' yang disiarkan secara langsung di Studio F Kumpulan Karangkraf di sini malam tadi.

Turut menjadi panelis ialah Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadli Shaari; Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Ahmad Afzanizam Abdul Rashid serta tetamu istimewa iaitu bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Belanjawan 2021, Aira berkata, semua ahli Parlimen perlu memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 demi kepentingan rakyat.

“Setiap ahli Parlimen berhak sama ada untuk menyokong atau tidak. Tetapi dalam keadaan negara sekarang. Ini bukan masa sesuai untuk ahli Parlimen memikirkan kepentingan diri.

Artikel Berkaitan:

“Saat ini sangat kritikal untuk Malaysia. Jika Belanjawan 2021 ini tidak dapat diluluskan, ia memberi implikasi yang besar kepada negara,” katanya.