X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Sains beli air daripada Air Selangor

Syarikat Air Negeri Sembilan membeli air daripada Air Selangor bagi menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Mukim Jimah, Port Dickson. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) mengambil keputusan membeli air daripada pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi memastikan kebersihan dan kesihatan penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Mukim Jimah, Port Dickson terjamin.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, pengambilan air dari pekan Sepang diharap dapat membantu meringankan beban sebahagian penduduk di kawasan terjejas di Tanah Merah Site A dan Bukit Pelanduk untuk mendapat bekalan air bersih melalui meter.

“Sains berharap dengan cara ini ia dapat mengurangkan bilangan kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air di Port Dickson dan juga salah satu usaha Sains untuk membantu memutuskan rantaian Covid-19 di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sebaik sahaja aliran air sungai mula memasuki kawasan muka sauk setelah kerja-kerja menambak tebing sungai siap, Sains menganggarkan dalam tempoh 48 jam bekalan air beransur pulih dan sampai ke paip agihan pengguna.

“Bagaimanapun, tempoh pemulihan juga bergantung kepada sistem retikulasi iaitu kawasan tinggi akan mengambil masa berbanding kawasan rendah.

“Sains mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna di sekitar kawasan terlibat agar dapat bersabar dan memahami situasi ini.

“Sains juga akan terus memberikan bantuan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, Sains memaklumkan, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi belum boleh beroperasi seperti biasa berikutan kerja-kerja menambak tebing Sungai Linggi oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) belum siap sepenuhnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!