LPNM disaran guna teknologi moden tingkatkan produktiviti nanas

Jalaluddin(tiga dari kanan) dan Sheikh Umar (empat dari kiri) bersama penerima bantuan pertanian
Jalaluddin(tiga dari kanan) dan Sheikh Umar (empat dari kiri) bersama penerima bantuan pertanian
A
A
A

SEREMBAN – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) disaran mengenal pasti kaedah berasaskan teknologi moden yang dapat membantu meningkatkan produktiviti serta hasil pengeluaran nanas di negara ini.

Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kebanyakan pengusaha nanas di negeri ini dilihat kurang berminat untuk meneruskan penanaman berikutan tempoh menunggu hasil yang agak lama.

“Kebanyakan pengusaha nanas ini tidak begitu berminat untuk meneruskan tanaman itu kerana hasil yang mereka peroleh terlalu lambat, iaitu hampir 14 bulan.

“Bukan bermakna tanaman nanas tidak memberi pulangan, tetapi mereka merasakan hasil yang diperoleh itu tidak mampu menjamin pendapatan pasif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Sembilan 2026, di sini pada Selasa.

Selain itu, katanya, bagi menggalakkan penglibatan golongan muda dalam penanaman nanas di negeri ini, kerajaan negeri dengan kerjasama LPNM akan menyalurkan bantuan berbentuk geran berjumlah RM22,500 kepada setiap seorang daripada 12 individu terpilih.

Ujarnya, mereka perlu berusia 45 tahun ke bawah dan mempunyai sekurang-kurangnya satu ekar tanah yang sesuai untuk diusahakan dengan tanaman nanas.

“Sebagai permulaan bagi suku pertama tahun ini, seramai 12 anak muda berusia 45 tahun ke bawah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri akan dikenal pasti untuk menerima bantuan ini, dan akan diberikan sebanyak 17,000 benih nanas jenis MD2.

“Pegawai LPNM akan membantu sepenuhnya daripada aspek pengurusan kebun, ladang dan teknik penanaman bagi memastikan hasil yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya, penanaman nanas di Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan keluasan melebihi 165.86 peratus dalam tempoh lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, daerah Kuala Pilah mendominasi keluasan penanaman dengan 68 hektar, diikuti Rembau (36.48 hektar), Jelebu (28.84 hektar), Port Dickson (26.36 hektar), Seremban (25.22 hektar), Jempol (18.44 hektar) dan Tampin (17.09 hektar).

Dalam pada itu, Jalaluddin turut menetapkan prosedur operasi standard (SOP) kepada LPNM negeri agar membangunkan sebuah kilang pemprosesan produk berasaskan nanas dalam tempoh tiga tahun, sekali gus menjadikan Negeri Sembilan sebagai salah satu hab pengeluaran nanas negara.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat menarik minat belia, malah mampu menjamin kelestarian industri nanas serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negeri.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan beberapa bentuk bantuan kepada pengusaha nanas di Negeri Sembilan.

Hadir sama, Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Ringkasan AI

  • LPNM disaran kenal pasti teknologi moden untuk tingkatkan produktiviti nanas
  • Pengusaha kurang berminat usahakan tanaman nanas kerana hasil lambat, hampir 14 bulan
  • Kerajaan negeri dan LPNM tawar bantuan RM22,500 kepada 12 individu bawah 45 tahun dengan sekurang-kurangnya satu ekar tanah
  • Penanaman nanas di Negeri Sembilan meningkat melebihi 165.86% dalam lima tahun
  • Jalaluddin tetapkan SOP untuk LPNM negeri bangunkan kilang pemprosesan nanas, jadikan Negeri Sembilan hab nanas negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!