Bekas Naib Canselor Upsi didakwa salah guna kuasa

SPRM
SPRM
A
A
A

IPOH - Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyalahguna kuasa, dengan melantik anak serta menantunya untuk dua jawatan di UPSI, pada 2014.

Tertuduh yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S. Indera Nehru.

Zakaria yang juga Pengerusi Mesyuarat Pengurusan Eksekutif Upsi didakwa menggunakan jawatan itu apabila terlibat dalam membuat keputusan meluluskan anak lelakinya Mohd Fauzi untuk dilantik ke Lantikan Kontrak bagi jawatan Jurutera (Awam) Gred J41 di universiti tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya dengan meluluskan menantunya, Siti Nooraishah Mansor dilantik sebagai calon Simpanan 2 bagi jawatan Juruteknik Gred FT17 secara kontrak di Upsi.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Bangunan Canselori di Upsi, antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, 8 Okt 2014.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin memohon kepada mahkamah agar tertuduh diberikan jaminan setimpal.

Tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kerana dia sudah bersara dan perlu menanggung isteri serta dua orang anak yang masih belajar.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 7 Disember ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: