Penduduk Pulau Pinang diminta bertenang, patuhi SOP

Jagdeep (tengah) bersama Tung Seng (kiri) dan Sr Rozali pada sidang akhbar terbabit.
Jagdeep (tengah) bersama Tung Seng (kiri) dan Sr Rozali pada sidang akhbar terbabit.
A
A
A

GEORGETOWN - Lebih 5,000 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ditugaskan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancang Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pemantauan di tempat awam dan tumpuan ramai akan dipertingkatkan lagi berikutan terdapat pertambahan kes positif koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 daerah Barat Daya yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Bagaimanapun Jagdeep menyeru agar penduduk di negeri ini terus kekal bertenang dan mematuhi semua SOP supaya dapat mengurangkan penyebaran virus berkenaan.

"Ingin saya tegaskan bahawa tiada amaran lanjut akan diberikan sekiranya SOP gagal dipatuhi kerana keselamatan kesihatan dan awam sentiasa menjadi keutamaan kita.

"Jadi tolong terus mematuhi semua SOP demi kebaikan bersama kita semua," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang dan Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud.

Mengulas lanjut Jagdeep berkata, sebanyak 409,165 pemeriksaan dilakukan sehingga 3 November lalu dan mendapati kadar pematuhan SOP dalam kalangan penduduk di bawah MBPP meningkat sehingga 99.69 peratus manakala bagi penduduk di kawasan MBSP sebanyak 99.35 peratus menerusi 633,632 pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain Jagdeep berkata, sehingga kini sebanyak 11,315 ujian saringan Covid-19 sudah dilakukan terhadap individu yang terbabit dengan beberapa kluster di negeri ini.

Katanya, ujian saringan berkenaan membabitkan Kluster Penjara Reman dengan 4,279 ujian saringan, Kluster Penjara Jawi (4,640), Kluster Bayan (1,593) dan Kluster Alma sebanyak 803.