#BersamaTolongKelantan bantu tingkat pelancongan domestik

Tengku Abdul Halim (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Dialog Rangsangan Pelancongan dan Ekonomi Negeri Kelantan Bersama Persatuan, Pertubuhan dan Penggiat Industri Pelancongan yang berlangsung di UMK Kampus Kota, Kota Bharu.
Tengku Abdul Halim (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Dialog Rangsangan Pelancongan dan Ekonomi Negeri Kelantan Bersama Persatuan, Pertubuhan dan Penggiat Industri Pelancongan yang berlangsung di UMK Kampus Kota, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Masih terdapat banyak produk pelancongan di Kelantan yang sebenarnya boleh menjadi tarikan hebat kepada pengunjung yang datang ke negeri tersebut namun belum didedahkan kepada umum.

Sehubungan itu, Pengerusi #BersamaTolongKelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim yang juga Tengku Laksamana Kelantan mencadangkan supaya pertubuhan 'tourism' ditubuhkan bagi setiap jajahan di Kelantan.

Tengku Abdul Halim berkata, pertubuhan tersebut yang dianggotai badan bukan kerajaan, penduduk tempatan dan pemain industri pelancongan negeri boleh meneroka serta mengenal pasti produk berpotensi di kawasan masing-masing untuk diketengahkan.

“Masih banyak produk yang bagus terdapat di jajahan dan tidak diketahui umum kerana tidak didedahkan secara meluas.

“Jadi, saya rasa sudah sampai masa pertubuhan ini ditubuhkan dan berperanan meningkatkan ekonomi tempatan menerusi pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas program Dialog Rangsangan Pelancongan dan Ekonomi Negeri Kelantan Bersama Persatuan, Pertubuhan dan Penggiat Industri Pelancongan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis dan Dekan Fakulti Hospitaliti Pelancongan dan Kesejahteraan UMK, Prof Dr Khairil Wahidin Awang.

Mengulas lanjut, Tengku Abdul Halim berkata, sebagai contoh, pihak tertentu boleh menubuhkan Gua Musang Tourism Association di Gua Musang untuk memperkenalkan produk belum popular selain terus giat mempromosikan keindahan alam semula jadi seperti gua, tasik dan hutan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri sudah mempunyai perancangannya tersendiri untuk menaik taraf industri pelancongan dengan mewujudkan #BersamaTolongKelantan yang secara tidak langsung boleh memantapkan usaha mempromosi keunikan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Uzaidi berkata, masih banyak produk pelancongan di Kelantan yang menjadi rahsia belum diketahui oleh masyarakat dalam dan luar negeri termasuk aspek makanan.

“Selepas pertemuan bersama 155 NGO hari ini, kita akan mewujudkan satu jawatankuasa iaitu perancangan strategik untuk bekerjasama dengan industri pelancongan di sini untuk merancakkan sektor pelancongan di Kelantan,” kata beliau.

Selain itu, pihaknya turut mengadakan perbincangan bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mempromosikan pelancongan menggunakan kereta api bermula dari Kuala Lumpur.

“Saya melihat industri pelancongan di Kelantan sangat aktif termasuk promosi ke luar negara, namun disebabkan penularan koronavirus (Covid-19), kita lupakan dahulu sektor antarabangsa tetapi menumpukan sektor domestik yang berpotensi dikembangkan serta membawa pulangan,” katanya.