Kanak-kanak derita penyakit hati kronik

Suzilawati bersama Nur Amanda Qaireen yang kini menderita penyakit hati kronik.
Suzilawati bersama Nur Amanda Qaireen yang kini menderita penyakit hati kronik.
A
A
A

TUMPAT - Luluh hati seorang ibu apabila anak yang dilahirkan dalam keadaan normal disahkan menghidap penyakit hati kronik atau biliary atresia selepas berusia 75 hari.

Bermula dari situlah, hidup Nur Amanda Qaireen Mat Kholt berusia setahun enam bulan yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik berubah sepenuhnya apabila tahap kesihatan kanak-kanak itu susut secara perlahan-lahan.

Lebih memilukan lagi, Nur Amanda Qaireen turut berdepan masalah tulang rapuh sekali gus membantutkan tumbesaran kanak-kanak tersebut.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Suzilawati Fauzi, 38, berkata, pada peringkat awal anaknya itu diserang demam kuning namun tidak sembuh.

"Disebabkan demam kuning Nur Amanda Qaireen berpanjangan, saya membawanya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bendang Pak Yong di sini hari ini.

Nur Amanda Qaireen dilahirkan normal namun kesihatannya merosot selepas menjalani pembedahan hempedu ketika berusia 75 hari.
Nur Amanda Qaireen dilahirkan normal namun kesihatannya merosot selepas menjalani pembedahan hempedu ketika berusia 75 hari.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan hempedu Nur Amanda Qaireen berdepan masalah dan terpaksa dibuang ketika dia berusia 75 hari.

Suzilawati berkata, selepas pembedahan tersebut kesihatan Nur Amanda Qaireen semakin susut sehingga memaksanya berhenti kerja.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini saya bekerja kilang di Petaling Jaya, Selangor, namun sejak Febuari lalu terpaksa berhenti untuk fokus menjaga Nur Amanda Qaireen.

"Buat masa ini hanya suami, Mat Kholt Enoi, 50, bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Disebabkan pendapatan suami hanya RM1,500 sebulan, saya dan anak-anak terpaksa pulang menetap di kampung.

"Sewa rumah RM500, bayaran bulanan kereta RM500 serta kos lain menyebabkan kami tidak mampu meneruskan kehidupan di ibu kota," katanya.

Menurutnya, setiap bulan Nur Amanda Qaireen memerlukan lebih RM1,500 sebulan untuk menampung keperluan harian serta kos temu janji.

Katanya, setiap hari Nur Amanda Qaireen terpaksa mengambil kira-kira 12 jenis ubat bagi melawan penyakitnya itu.

Dia berkata, anaknya juga terpaksa berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan dan temu janji bersama doktor pakar.

"Sebagai ibu saya hanya mampu berdoa agar anak saya kembali sembuh seperti kanak-kanak normal lain," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank atas nama Suzilawati Fauzi di 1623-3908-5995.