PKPB dilaksana di Mukim 12, daerah Barat Daya Pulau Pinang

Ismail Sabri -foto Bernama
Ismail Sabri -foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Mukim 12 Barat Daya, Pulau Pinang berkuat kuasa Jumaat ini hingga 18 November.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan secara bersasar di kawasan itu.

“Sehingga 3 November, terdapat 35 kes yang positif Covid-19 termasuk 11 kes baharu direkodkan di mukim ini. Selepas mendapat nasihat KKM susulan peningkatan kes di mukim itu, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan PKPB di kawasan berkenaan.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPB masih sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan yang bermula sejak 23 Oktober akan tamat esok (5 November) seperti dijadualkan.

"Sehingga 26 Oktober, ujian saringan yang dijalankan KKM mengesahkan tiada kes positif Covid-19 baharu yang direkodkan di kawasan ini. Bagaimanapun, kawasan ini masih tertakluk dengan pelaksanaan PKPB di seluruh Sabah yang dilaksanakan sehingga 9 November,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia menahan sejumlah 382 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam dengan 364 dikompaun manakala 18 lagi direman.

Beliau berkata, kesalahan tidak memakai pelitup muka dilaporkan sebagai yang tertinggi melibatkan 136 individu diikuti premis gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk pelanggan iaitu 66.

Artikel Berkaitan:

"Kesalahan lain termasuk gagal arahan penjarakkan fizikal melibatkan 58 individu, aktiviti pusat hiburan (42), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (22) dan kesalahan lain (58),” katanya.

Mengulas mengenai Operasi Benteng bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini, beliau berkata, seramai 16 pendatang asing tanpa izin, lima penyeludup dan dua tekong ditahan semalam serta 10 kenderaan darat dirampas.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 50,336 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga kini.

Daripada jumlah itu, seramai 9,797 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 66 hotel dan 19 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara. - Bernama