'Budaya pukul penjawat awam harus dihentikan'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat negara ini digesa agar tidak beremosi ketika berdepan sesuatu isu sehingga mencederakan anggota keselamatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata, budaya samseng dengan memukul sesiapa sahaja termasuk penjawat awam harus dihentikan kerana sifat ini sangat keterlaluan.

"Memandangkan anggota bomba datang dengan trak dan mereka masih belum keluar daripada kereta tetapi telah diserang. Ini anggota Perkhidmatan Menyelamat dan Perawatan Kecemasan (EMRS) yang turun untuk bantu memadam kereta terbakar.

"Perusuh itu ambil tindakan sendiri dengan pukul anggota bomba. Budaya ini harus dihentikan kerena mereka penjawat awam beruniform," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Awal pagi tadi, seorang anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman USJ 25.

Anggota berkenaan diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi sebaik mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.

Terdahulu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata isu ini seharusnya dapat diselesaikan lebih awal sekiranya terdapat rundingan awal antara pemaju dan pemilik kuil berkenaan.

"Harus ada rundingan meja bulat dan panggil orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian.

Artikel Berkaitan:


Isu ini sudah lama tertunggak sampai jadi terjadi insiden semalam yang tak sepadan dengan imej rakyat malaysia yang ada sekarang.

"Harap ini jadi pengajaran kepada semua pihal agar berani berdepan masalah cuba selesaikan sebelum terlambat," kata Zuraida lagi.

Dalam pada itu Zuraida dijadualkan akan melawat mangsa di Pusat Perubatan Subang Jaya bagi mendapatkan maklumat terkini tentang mangsa.