Pengurus kanan kewangan Pasdec Holdings didakwa pecah amanah

Pengurus kanan kewangan, Pasdec Holding Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah berjumlah RM320,000, antara September 2014 sehingga Mac 2016.
Pengurus kanan kewangan, Pasdec Holding Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah berjumlah RM320,000, antara September 2014 sehingga Mac 2016.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Pengurus kanan kewangan sebuah syarikat hartanah, Pasdec Holding Berhad dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah berjumlah RM320,000, antara September 2014 sehingga Mac 2016.

Ahmad Rosdi Ismail,50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang diamanahkan dengan penguasaan harta terhadap syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan di pejabat Pasdec Holdings Berhad di Menara Teruntum dan CIMB Bank Berhad cawangan Kompleks Teruntum di sini.

Kesalahan yang dilakukan pada 8 September 2014 melibatkan jumlah sebanyak RM200,000 manakala pada 24 April 2015 sehingga 21 Mac 2016 sebanyak RM120,000.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahu, sebatan dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM130,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Ahmad Rosdi yang diwakili oleh Peguam Bastian Pius Vendargon merayu supaya jumlah itu dapat dikurangkan kerana tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan berjanji akan hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

"Tertuduh adalah penanggung tunggal kewangan keluarga di samping perlu menyara isteri yang tidak bekerja, mempunyai dua anak autisme.

"Tertuduh hanya mampu menjelaskan jaminan tidak melebihi RM50,000. Saya minta budi bicara mahkamah supaya memberi jaminan yang munasabah dan anak guam saya tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan pasport miliknya," katanya.

Mohd Ghazali kemudiannya menetapkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan 6 Mac depan sebagai sebutan semula untuk penyerahan dokumen.