KRT Padang Lalang suburkan permainan kertuk

Aktiviti bermain kertuk yang disertai anak muda dan golongan dewasa di Kampung Padang Lalang.
Aktiviti bermain kertuk yang disertai anak muda dan golongan dewasa di Kampung Padang Lalang.
A
A
A
TANAH MERAH - Permainan kertuk mungkin asing dalam era teknologi kini, namun alatan muzik tradisional Kelantan itu mula mendapat sambutan dan menjadi aktiviti sampingan golongan muda di Kampung Padang Lalang, Klewek di sini.

Pendekatan dibawa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Padang Lalang berjaya memperkenalkan permainan tradisional itu kepada anak muda di kampung tersebut.

Pengerusi KRT, Mohd Noor Hussin berkata, pihaknya sering mengadakan latihan bermain kertuk di pusat aktiviti KRT setiap tiga kali seminggu.

Menurutnya, aktiviti tersebut ternyata menarik minat golongan muda apabila Jiran Muda yang juga ahli KRT berusia seawal 13 tahun turut menyertai kumpulan kertuk kampung itu.

“Idea untuk memperkenalkan aktiviti ini sebagai satu acara sampingan dalam KRT Padang Lalang tidak sia-sia dan kita mampu menubuhkan pasukan kertuk sendiri.

“Alhamdulillah kumpulan kertuk kami semakin dikenali apabila turut dipanggil dalam satu persembahan di Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, menurut tenaga pengajar yang juga pembuat kertuk, Mohamed Awang, 72, penghasilan kertuk tidaklah remeh, namun untuk mencari kayu yang bena-benar berkualiti memerlukan masa.

“Saya boleh hasilkan sebuah kertuk dalam masa sehari sahaja, namun perlulah menggunakan bahan yang betul-betul berkualiti bagi menghasilkan bunyi terbaik dan hasil yang memuaskan,” katanya.

Kertuk dihasilkan daripada kayu bermutu tinggi dan di bahagian bawahnya terdapat sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian tengah.

Artikel Berkaitan:

Keunikan kertuk juga terletak pada alat untuk paluan bunyinya.

Kayu paluan kertuk itu sendiri diperbuat daripada getah yang diambil daripada bekas torehan pokok getah yang dapat menghasilkan bunyi cukup unik dan menarik.