[VIDEO] Teknologi Maklumat lancarkan perjalanan haji di Tanah Suci

Shahidan (tengah) memantau operasi Pasukan Teknologi Maklumat TH di Makkah pada Selasa. - Gambar kecil: Badruldin melaporkan dari Tanah Suci
Shahidan (tengah) memantau operasi Pasukan Teknologi Maklumat TH di Makkah pada Selasa. - Gambar kecil: Badruldin melaporkan dari Tanah Suci
A
A
A

MAKKAH - Perkhidmatan teknologi maklumat (IT) termasuklah liputan internet yang pantas untuk petugas dan jemaah haji adalah antara cabang penting setiap kali operasi haji yang dikelolakan Lembaga Tabung Haji (TH).

Maka, pada tahun ini, petugas Pasukan Teknologi Maklumat yang tiba lebih awal di Tanah Suci telah bertungkus-lumus untuk menyediakan perkhidmatan IT seperti infrastruktur, rangkaian dan perkakasan berada dalam keadaan yang baik.

Pasukan yang terdiri daripada 21 anggota itu perlu memastikan sistem digunakan setiap tahun itu menepati keperluan pasukan petugas terutamanya perubatan, bahagian bimbingan, operasi Masyair di Arafah, Mudzalifah dan Mina serta maktab penginapan jemaah.

Pengarah Operasi Teknologi Maklumat TH, Shahidan Ishak berkata, setakat ini persiapan pihaknya mengikut jadual ditetapkan dan akan dapat memenuhi keperluan 670 petugas dan 31,600 jemaah haji.

"Operasi IT di Makkah tertumpu kepada beberapa lokasi utama, salah satunya ialah di ibu pejabat TH di Makkah, iaitu di Abrash Janadriah, seterusnya di hospital Tabung Haji.

"Jadi antara ketiga-tiga komponen dalam persediaan teknologi maklumat ialah rangkaian. Kita memastikan talian-talian dapat disediakan sebelum pejabat-pejabat operasi dibuka dan juga kita memastikan perkakasan-perkakasan komputer tersedia termasuklah mengemas kini antivirus," katanya kepada media Malaysia di Ibu Pejabat TH di Makkah pada Selasa.

Selain itu katanya, antara penambahbaikan utama yang dibuat untuk operasi pada tahun ini adalah melibatkan aplikasi yang mana ia bermula dari tanah air lagi.

"Kita telah memperkenalkan sistem e-Bimbingan untuk kemudahan bakal haji membuat rujukan dan sebagainya seterusnya beberapa penambahbaikan lain seperti sistem khidmat pelanggan bagi memastikan sistem aduan dapat digunakan dengan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

"Kita juga telah menambah baik sistem Hajj Mobiliti melibatkan beberapa modul seperti sistem bagasi, e-taib dan sebagainya dan dengan semua penambahbaikan itu, ia akan membantu meningkatkan keberkesanan operasi haji," katanya.

Shahidan berkata, pasukannya juga bekerja tanpa henti kerana di setiap sektor operasi di Tanah Suci bergantung kepada sistem IT untuk segala prosedur, arahan kerja dan lain-lain urusan.

Petugas Teknologi Maklumat menjalankan pemeriksaan perkakasan agar sentiasa berada dalam keadaan baik.
Petugas Teknologi Maklumat menjalankan pemeriksaan perkakasan agar sentiasa berada dalam keadaan baik.

Cabaran operasi

Ketika ditanya mengenai pengalaman lalu dan jangkaan pada musim ini, beliau berkata, pihaknya melihat isu kestabilan rangkaian semasa operasi Masyair yang perlu diberikan perhatian.

Ini kerana katanya, sistem IT diguna pakai bukan saja semasa di Makkah, Madinah tetapi juga semasa operasi Masyair dan pusat maklumat operasi di Arafah dan Mina.

"Jadi ketika di Arafah dan Mina, dengan pertambahan jumlah jemaah, kadang kala kestabilan talian itu tidak dapat diperolehi. Pembekal talian itu sendiri tidak dapat beri komitmen kepada kita. Jadi apa yang kita buat, kita sudah melanggan talian daripada beberapa pembekal lain seperti STC, Zain dan Mobily.

"Jadi dengan kepelbagaian talian yang kita ada, sekurang-kurangnya kita boleh memastikan jika ada satu talian yang mengalami kesesakan ataupun prestasinya kurang seperti yang kita harapkan, kita boleh bertukar kepada pembekal talian yang lain,"katanya.

Nasihat kepada jemaah

Kata Shahidan, TH sudah memperkenalkan beberapa aplikasi yang bertujuan untuk membantu jemaah haji semasa berada di Tanah Suci seperti THijari dan e-Bimbingan Haji.

"Saya mengesyorkan jemaah haji membuat persediaan awal dengan memuat turun aplikasi ini, manfaatkan ia sebaiknya kerana ia dicipta untuk memudahkan jemaah melakukan ibadat dan mendapatkan maklumat terkini.

"Kita dapat maklum balas daripada jemaah yang lepas di mana aplikasi yang kita sediakan ini sangat membantu mereka dalam melaksanakan ibadah dan juga menjalani aktiviti harian semasa di Tanah Suci," katanya.

Sementara itu Shahidan berkata, aplikasi Hajj Mobiliti yang diperkenalkan pada tahun lepas telah ditambah baik secara berterusan untuk kegunaan pada tahun ini.

"Kita ada penambahbaikan dari segi modul. Jika sebelum ini hanya boleh diakses oleh android saja, tahun ini ios pun dah boleh guna aplikasi Hajj Mobiliti.

"Aplikasi e-Bimbingan pula merupakan satu pendekatan baharu untuk para bakal haji membuat rujukan dan informasi berkenaan ibadah,"katanya.

Shahidan berkata dengan adanya e-Bimbingan, pihaknya percaya para bakal haji atau jemaah haji sendiri boleh membuat rujukan pada bila-bila masa saja kerana rujukan itu telah tersedia dalam aplikasi.

"Jadi kita nampak ini sangat memudahkan bagi jemaah haji buat rujukan dan bakal beri banyak manfaat kepada mereka,"katanya.

Secara keseluruhan seramai 670 petugas haji digerakkan ke Arab Saudi untuk menjalankan operasi haji tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, 340 orang adalah petugas kebajikan, perubatan (296), dan selebihnya adalah daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wakil media.

Jemaah haji pula adalah seramai 31,600 orang dengan penerbangan pertama akan berlepas pada 21 Mei ini secara berperingkat.