Hizbut Tahrir: MAINJ akan beri penerangan

NOH
NOH
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan kepimpinan di peringkat daerah bagi mengadakan sesi penerangan tentang fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah termasuk ancaman Hizbut Tahrir di negeri itu.

Penasihat MAINJ, Datuk Dr Noh Gadut berkata, sesi penerangan yang dijangka diadakan pada penghujung tahun ini turut membabitkan kepimpinan daerah seperti pegawai daerah dan penolong ketua pegawai daerah.

Menurutnya, sesi penerangan yang akan diadakan itu merupakan satu strategi untuk memberi kefahaman, pendidikan dan kesedaran terhadap ancaman Hizbut Tahrir.

"Ada sebahagian fatwa, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya tidak digazetkan sebaliknya perlu diberikan pencerahan menerusi pendidikan, khutbah Jumaat, forum dan sebagainya.

"Jadi kita ambil pendekatan penguat kuasa yang paling akhir, ada yang kita panggil beri penerangan agar mereka sedar dan kembali ke pegangan yang asal iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan aplikasi pesanan dan penghantaran makanan halal pertama, Odejee di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Noh berkata, pihaknya berpandangan pendekatan mendidik perlu digunakan dalam menangani penyebaran fahaman Hizbut Tahrir dan hanya akan menggunakan undang-undang sebagai langkah terakhir.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tahu lebih awal, boleh selamatkan banyak perkara kerana kalau kita tengok, kadang-kadang mereka tidak tahu Hizbut Tahrir tapi hanya ikut sahaja.

"Undang- undang tidak boleh selesaikan masalah sehingga ke akar umbi. Kita beranggapan mereka tidak jelas, jadi kita berikan penerangan supaya mereka berubah. Jadi dengan hikmah budi bicara mungkin boleh mengubah dan kembalikan mereka ke pangkal jalan," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan kerajaan negeri memandang serius dan memantau kewujudan pusat-pusat penyebaran Hizbut Tahrir di Johor.

Exco Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan bekerjasama dengan polis mengikuti perkembangan dan pergerakan Hizbut Tahrir serta bersedia untuk menggempur pusat-pusat penyebaran mereka.

ARTIKEL BERKAITAN:Gempur pusat Hizbut Tahrir selepas pemimpin utama dikenal pasti