X

Kindly register in order to view this article
!

Sukarelawan hasilkan PPE untuk petugas barisan hadapan

Burhanuddin (kiri) melihat Hanafiah memakaikan pakaian PPE yang berjaya disiapkan. - Foto: UPDI
A
A

KUALA TERENGGANU - Sejumlah 3,254 peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan berjaya disiapkan hasil usaha sama antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu dan sukarelawan.

Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Daud berkata, penyediaan PPE itu melibatkan dua fasa, dengan 3,000 PPE disediakan oleh 28 sukarelawan Jiran Wanita, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Besol dan Taman Madani AMBS, Dungun bagi fasa pertama.

Menurutnya, bagi fasa kedua pula, 254 PPE disiapkan oleh Jiran Wanita KRT Che Lijah dan Gong Pasir, Dungun.

“Usaha ini dibuat bagi memenuhi keperluan barisan hadapan. Cadangan untuk penyediaan PPE ini juga sebenarnya dibuat kerana KRT mempunyai kekuatannya, yang mana kita ramai sukarelawan yang boleh membantu.

“Sebab itu kita libatkan dan minta KRT dan Jiran Wanita untuk turut sama dalam projek ini kerana ia salah satu sumbangan kita kepada negara dalam membantu para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani kes koronavirus (Covid-19),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan PPE dan Poster Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Hotel Sumai, di sini semalam yang disempurnakan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat.

Pada majlis itu, Hanafiah menyerahkan PPE yang berjaya disiapkan kepada wakil Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan.

Sementara itu, Hanafiah turut memuji usaha yang dilakukan dan mengharapkan lebih ramai pihak yang turut membantu dalam memastikan keperluan PPE cukup untuk kegunaan barisan hadapan dalam usaha membendung wabak Covid-19.

“Usaha murni ini wajar dipuji kerana kita masih dalam usaha memerangi Covid-19. Walaupun kita tidak dapat membantu secara langsung, usaha kecil sebegini amat diperlukan kerana sokongan daripada komuniti itu sendiri dapat mengurangkan beban mereka,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!