X

Kindly register in order to view this article
!

Perak lulus umur 18 tahun jadi calon Dewan Negeri

Ahmad Faizal menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Tahun Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama
A
A

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2020 untuk menurunkan had umur layak menjadi calon ahli Dewan Negeri daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketika sesi penggulungan usul, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pindaan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang diwartakan pada 10 September 2019 dan berkuat kuasa pada 11 September 2019.

"Susulan daripada pindaan Rang Undang-Undang tersebut ia akan memberi hak serta ruang kepada golongan belia berumur 18 tahun untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya dan seterusnya menjadi calon ahli Dewan Negeri Perak.

"Dengan itu, mereka berpeluang untuk bersuara di Dewan yang mulia ini serta berada bersama-sama kita di sini untuk membahaskan usul-usul serta undang-undang untuk kebaikan negeri ini," katanya.

Beliau berkata, golongan belia berusia 18 tahun telah dianggap matang serta diberikan beberapa hak untuk membuat keputusan penting dalam kehidupan mereka selaras dengan Akta Umur Dewasa 1971 [Akta 21].

Katanya, ia termasuklah berkahwin; bekerja; memperoleh lesen memandu kenderaan; menyertai pasukan beruniform, menandatangani kontrak atau pinjaman serta dibicarakan sebagai pesalah dewasa sekiranya melakukan jenayah.

"Penurunan had umur kelayakan ini akan membuka ruang kepada belia bergiat aktif dalam politik dan selanjutnya meningkatkan penyertaan belia sebagai warga bertanggungjawab dalam menyumbang kepada demokrasi dan pembangunan negeri.

"Ia juga untuk mengetengahkan suara anak muda dalam pembuatan dasar dan perundangan negeri; membantu belia mempertingkatkan literasi demokrasi dan kematangan melalui pendedahan kepada pengurusan tadbir urus negeri serta membangunkan pelan pewarisan kepimpinan," katanya.

Di peringkat Persekutuan, usul pindaan had umur ini telah mendapat sokongan keseluruhan 211 ahli Parlimen yang hadir ketika dibentangkan di Parlimen pada 16 Julai 2019.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!